utama

Warga emas, budak lebih berisiko

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Strok haba berisiko untuk terjadi kepada semua orang sekiranya seseorang itu terdedah kepada persekitaran panas melampau, tanpa mengira tahap kesihatan diri seseorang.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam Kementerian Kesihatan, Dr Norlen Ahmad berkata, golongan warga emas, kanak-kanak dan mereka yang mempunyai penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi dan obesiti, bagaimanapun lebih berisiko mendapat strok haba.

"Warga emas lebih berisiko tinggi kerana biasanya mereka mempunyai pelbagai penyakit yang membuatkan mereka lebih sensitif dan mekanisme pengeluaran peluh atau kawalan suhu badan tidak lagi cekap," katanya kepada Bernama Radio, semalam.

Dr Norlen berkata, strok haba adalah satu kecemasan perubatan yang boleh berlaku secara pantas dan langkah segera perlu diambil untuk mengurangkan suhu badan bagi mengelakkan mangsa mengalami kondisi yang lebih serius seperti kegagalan fungsi otak, sawan dan yang paling serius mendatangkan maut.

Katanya, antara langkah segera yang boleh diambil adalah meletakkan tuala basah di atas kepala, bawah ketiak, tepi paha serta tengkuk mangsa selain memindahkan mangsa ke tempat yang lebih sejuk dan redup.

"Tempat-tempat terbabit adalah laluan saluran darah besar dan meletakkan tuala basah akan mempercepatkan proses alihan haba dalam badan dan seterusnya mengurangkan suhu teras badan," katanya.

Menurutnya, antara langkah pencegahan yang boleh diambil orang ramai adalah mengurangkan aktiviti fizikal di kawasan panas, memperbanyak minum air terutamanya air kosong, memakai pakaian yang longgar dan nipis serta memantau kesihatan ahli keluarga berisiko.

Minggu lalu, seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun dari Kampung Perupok, Bachok Kelantan, meninggal dunia di Klinik Kesihatan Balai, Bachok akibat strok haba dan dehidrasi.

Sebelum ini, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran, beberapa kawasan di Semenanjung dan Sabah diramal mengalami cuaca panas Tahap 1 (Berjaga-jaga) sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut dengan suhu maksimum sehingga 35 dan 37 darjah Celsius, bagaimanapun keadaan itu dijangka akan reda dalam beberapa hari lagi.

Kolam tadahan air hampir kering

Cuaca panas dan kering yang melanda daerah ini memberikan pelbagai kesan kepada penduduk yang bukan sahaja menyebabkan kerugian malah turut terpaksa mengehadkan aktiviti harian.

Fenomena itu menyebabkan pekebun pisang, Mohd Azlan Abdul Manaf, 39, mengalami kerugian hampir RM40,000 apabila kira-kira 1,000 pokok pisang berangan dan pisang raja mati akibat kekurangan air.

Katanya, kolam tadahan air di kebunnya pula hampir kering sehingga dia tidak dapat digunakan untuk menyiram pokok.

"Saya tanam 5,000 pokok pisang dan 1,000 daripadanya rosak akibat kemarau menyebabkan kerugian hampir RM40,000.

"Pokok pisang memerlukan air yang banyak dan jika kemarau ia akan mati termasuk pokok yang sudah berbuah," katanya yang tinggal di Kampung Pisang di sini.

Sementara itu, kontraktor membuat jalan, Mohammad Kharul Nizam Ismail, 41, terpaksa menukar jadual kerja bermula seawal jam 7.30 pagi dan berhenti pada jam 11 pagi kerana tidak tahan dengan suhu panas.

Ini kerana, katanya, dia bimbing pekerjanya diserang strok haba sekiranya bekerja di bawah matahari terik.

"Kita buat kerja tengah panas kena berjaga-jaga... bahang sekarang kalau minum dua botol air pun tak cukup. Jam 8 pagi pun sudah rasa bahang panas," katanya yang sudah 20 tahun menjadi kontraktor.

Perkara sama diakui pemandu jengkaut, Alias Abdul Rashid, 42, apabila dia perlu membawa lebih banyak air minum ketika bekerja bagi mengekalkan lembapan dalam badan.

"Jika terlalu lama di bawah terik matahari kulit jadi pedih sebab cuaca sekarang panas luar biasa. Pada waktu tengah hari memang kena minum banyak air," katanya.

Namun, sebaliknya bagi pengusaha asam keping, Jariah Yahya, 70, cuaca panas memberi limpahan rezeki buatnya.

Katanya, proses menjemur asam keping lebih cepat berbanding sebelum ini menjangkau empat hari.

"Sebelum ini kalau jemur asam keping ambil masa lebih empat hari baru kering, tapi dengan musim panas sekarang cuma dua tiga hari sudah kering dan boleh simpan dalam plastik.

"Asam keping ini kalau lambat kering jadi berkulat, kadang-kadang jadi hitam dan perlu dibuang," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bendang Raja di sini.

Terdahulu Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan status cuaca panas tahap satu (berjaga-jaga) bagi kawasan Padang Terap di Kedah dan Jempol di Negeri Sembilan.

Menurut data jabatan itu gelombang haba tahap kuning merujuk kepada suhu maksimum harian melebihi 35 hingga 37 darjah Celsius untuk sekurang-kurangnya tempoh tiga hari berturut-turut.

Disiarkan pada: May 4, 2023 @ 7:01am
d