utama

Kes cerai Hafidz, Nurul Shuhada tangguh 20 Jun [METROTV]

Oleh Syafil Syazwan Jefri

Shah Alam: Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, di sini, hari ini menetapkan 20 Jun ini untuk perbicaraan dan keputusan lafaz cerai luar mahkamah antara pelakon, Hafidz Roshdi, 29, dan isteri, Nurul Shuhada Mat Shukri, 29.

Peguam Syarie yang mewakili Hafidz, Datuk Akberdin Abdul Kader berkata, wujud percanggahan antara anak guamnya dengan defendan yang mendakwa ada satu lagi lafaz cerai yang berlaku pada Januari lalu.

"Isu untuk sesi hari ini adalah untuk kes cerai di luar mahkamah. Mahkamah sudah berikan tarikh baharu pada 20 Jun untuk teruskan perbicaraan dan mahkamah akan buat keputusan mengenai lafaz cerai di luar mahkamah itu.

"Ini kerana ada tuntutan balas daripada pihak defendan yang mana pihaknya mendakwa ada lagi satu lafaz cerai yang berlaku pada 22 Januari lalu.

"Tapi, pihak Hafidz punya permohonan adalah untuk lafaz cerai pada 22 Februari. Jadi, kami tak bersetuju dengan dakwaan defendan.

"Hakim akan mendengar kedua-dua permohonan dan akan putuskan pada tarikh akan datang," katanya.

Sementara itu, Hafidz memohon maaf sekiranya ada kesilapan daripada pihaknya dan menyerahkan semuanya kepada mahkamah.

"Kepada semua di luar sana, saya nak mohon maaf sekiranya ada kesilapan daripada saya. Saya masih bersedia nak bekerja dalam industri seni.

"Dalam isu mahkamah ini, saya serahkan kepada mahkamah untuk buat keputusan. Saya percaya, jodoh, ajal, maut itu semuanya di tangan Tuhan," katanya.

Disiarkan pada: May 9, 2023 @ 12:48pm
d