utama

Dua beradik rentung dalam kebakaran

Oleh Syaherah Mustafa

Kota Bharu: Dua beradik maut selepas kediaman mereka terbakar di Kampung Mentuan Sering, di sini dalam kejadian 8.30 malam tadi.

Mangsa, Muhammad Huzaifah Ab Halim, 31, dan adiknya, Aisyah Ab Halim, 22, yang juga Sindrom Down ditemui anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dalam keadaan rentung.

Ibu mangsa, Rubiah Ismail 59, berkata, ketika kejadian dia ke masjid berdekatan untuk menunaikan solat Maghrib dan Isyak sebelum diberitahu orang kampung mengenai kejadian menimpa anaknya.

"Saya terus bergegas pulang ke rumah namun api sudah marak dan saya tidak dapat berbuat apa-apa. Saya cuba menjerit memanggil kedua-dua anak namun tidak bersahut.

"Hampir setiap malam saya solat berjemaah di masjid dan meninggalkan mereka berdua dalam rumah yang tidak berkunci. Anak perempuan saya penghidap Sindrom Down, manakala yang lelaki juga mempunyai masalah kesihatan.

"Tetapi mereka boleh bergerak seperti biasa. Mungkin kerana panik, mereka tidak tahu bagaimana untuk keluar," katanya ketika ditemui di lokasi.

Tinjauan ke lokasi mendapati anggota JBPM dan pihak polis sedang cuba mengeluarkan mayat yang difahamkan ditemui di dalam tandas serta ruang tamu.

Rubiah yang lemah dan bersedih dengan kehilangan itu, mengakui tidak percaya dengan apa yang terjadi, namun reda dengan ketentuan Ilahi.

"Dalam sekelip mata, saya diuji dengan kehilangan dua anak sekali gus. Saya reda dengan ketentuan ini. Biasanya merekalah yang menemani saya di rumah memandangkan anak-anak lain sudah berkeluarga dan mempunyai kehidupan sendiri.

"Saya berdoa semoga diri ini terus diberi kekuatan untuk menerima kenyataan atas apa yang berlaku," katanya.

Disiarkan pada: May 12, 2023 @ 11:11pm
d