utama

Ulang-alik 212 km tiap hari pergi kerja

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Pengorbanan demi mencari rezeki untuk keluarga bukan mudah, malah ada yang sanggup menempuh perjalanan melebihi 200 kilometer setiap hari untuk ke tempat kerja.

Bagi sesetengah individu, mereka tiada pilihan lain dan terpaksa berulang-alik dengan jarak yang jauh untuk ke pejabat setiap hari menaiki kereta dan motosikal.

Dengar sahaja sudah cukup memenatkan, apatah lagi hendak menjalani tanggungjawab itu. Namun, keinginan melihat anak-anak membesar di depan mata dan menjaga orang tua yang uzur menjadi 'kekuatan' bagi individu ini memilih untuk terus bertahan.

KISAH 1

Tiada istilah putus asa bagi Mohamad Al Kusyairy Mohamed Safee, 39 yang bekerja sebagai Pengurus Restoran di Alam Damai, Cheras.

Bapa kepada tiga anak itu sanggup menunggang motosikal dari kediamannya di Alor Gajah, Melaka untuk ke tempat kerja setiap hari.

Perjalanan sejauh 212 kilometer (km) pergi dan balik ditempuh dengan tekad untuk memastikan keperluan keluarganya mencukupi.

"Saya terus bertahan disebabkan itu mata pencarian utama dan selain itu anak-anak serta isteri menjadi sumber kekuatan kepada saya untuk bekerja keras.

"Setiap hari dalam jam 5.30 pagi saya sudah siap untuk ke tempat kerja, mula gerak pulang selepas restoran tutup dalam jam 12 malam.

"Saya terus pulang dan berhenti di perhentian Seremban untuk berehat dalam setengah jam sebelum meneruskan perjalanan ke Melaka.

"Setiap hari saya hanya dapat tidur dalam dua ke tiga jam saja dan sampai rumah saya akan terus jenguk dan peluk anak-anak walaupun mereka sudah tidur. Rutin ini menjadi biasa sehinggakan ketika saya cuti pun tetap tidak boleh melelapkan mata untuk dapatkan tidur yang lebih lama.

"Saya juga kerap membuat panggilan video dengan anak-anak supaya mereka tahu saya sentiasa ada untuk mereka. Memang saya ada memohon untuk bekerja lebih dekat dengan rumah, tapi masih dalam pertimbangan majikan," katanya.

Bagi Mohamad Al Kusyairy, dia turut bersyukur kerana sejak hampir dua tahun berulang-alik dari Melaka ke Cheras tiada kejadian tidak diingini berlaku dan Allah SWT melindunginya.

"Namun pernah juga beberapa kali dalam perjalanan terjadi micro sleep namun syukur sangat ketika itu ada kenderaan lain yang perasan dan membunyikan hon sekali gus sedarkan saya.

"Sejak itu, saya akan berhenti di tempat rehat minum kopi sebelum teruskan perjalanan. Pengorbanan kerja jarak jauh termasuk berpenat lelah ini semua mengajar saya supaya lebih menghargai masa dan keluarga," katanya.

KISAH 2

Hari-hari pandu kereta dari Masjid Tanah ke Sentul

Sepanjang lima tahun bergelut dengan cabaran ulang-alik sejauh 266 kilometer sehari ke tempat kerja, menjadikan Nur Ainie Baharudin, 36, terus cekal menghadapi hari-hari mendatang.

Kakitangan awam itu nekad untuk terus bertahan setiap hari memandu dari Masjid Tanah, Melaka ke Sentul, Kuala Lumpur supaya dapat bersama dengan ibunya.

Sebagai anak perempuan sulung, kekuatan saya adalah ibu dan memandangkan penglihatan ibu terbatas, saya mengambil keputusan untuk menempuh laluan beratus kilometer supaya dapat menjaga beliau dan teruskan kerjaya saya.

"Ikutkan sebenarnya memang saya penat dan pernah menghadapi Major Depressive Disorder (MDD) atau kemurungan jadi saya cari semangat setiap pagi untuk bekerja.

"Sejak kematian ayah, ibu dan saya menjadi sangat rapat dan memandangkan dalam adik-beradik saya yang masih bujang, jadi saya ambil keputusan untuk menjaga ibu.

"Setiap hari, bermula jam 5 pagi ibu akan menghantar saya ke depan pagar, menunggu sehingga saya bergerak dan itu kenangan yang tidak akan dapat saya beli sampai bila-bila," katanya.

Menurutnya, dia bukan tak pernah mengajak ibu tinggal di Kuala Lumpur, tetapi dia tidak betah dan lebih selesa di rumah sendiri apatah lagi ibunya tidak boleh melihat menyebabkan pergerakannya terbatas.

Nur Ainie berkata, dia sudah banyak kali memohon untuk bertukar tempat kerja tetapi masih belum diluluskan.

"Permohonan pertukaran selalunya bagi pasangan berkeluarga (suami dan isteri), jadi apabila saya yang belum berkahwin membuat rayuan agak sukar untuk diterima dan selalunya akan timbul isu lain.

"Mungkin belum rezeki saya dan sepanjang lima tahun ini saya selalu set minda saya agar jangan terlalu mengharap pada manusia tetapi harus bergantung dengan Allah SWT.

"Saya selalu kuatkan semangat dan setiap hari saya berdoa agar perjalanan pergi dan balik saya selamat.

"Saya tahu ibu sentiasa doakan saya dan disebabkan doa itu saya tidak pernah kemalangan atau menghadapi micro sleep," katanya.

Menurutnya, sepanjang lima tahun bekerja pada jarak jauh, dia juga harus mengeluarkan kos tambahan untuk tol, minyak dan servis kenderaan (empat kali setahun) termasuk tukar tayar dengan jumlah keseluruhan menelan belanja kira-kira RM5,000 setahun.

Cetus tekanan mental, darah tinggi, gangguan hormon

Tekanan mental, darah tinggi serta gangguan hormon antara penyakit yang boleh dialami individu yang terpaksa menempuh perjalanan ulang-alik beratus kilometer setiap hari.

Pakar kesihatan pekerjaan, kecemasan dan kesihatan awam, Dr Hanafiah Bashirun berkata, tempat kerja yang jauh bukan sahaja memenatkan fizikal, tetapi ia turut membebankan mental apatah lagi terpaksa berhadapan dengan kesesakan lalu lintas.

Katanya, mereka ini juga boleh berdepan beberapa masalah kesihatan dari segi fizikal dan dalaman.

"Sepatutnya, kita bekerja lapan ke sembilan jam sehari dan risiko perjalanan jauh selain sakit tengkuk dan tulang belakang, mereka boleh mengalami sindrom carpal tunnel (kesakitan saraf median akibat tekanan berpanjangan) sama ada individu ini menaiki motosikal atau pun kereta.

"Bayangkan, sudahlah di tempat kerja kita tertekan, perjalanan berulang-alik ke tempat kerja pula lebih 200 kilometer setiap hari (lebih kurang empat jam perjalanan pergi dan balik).

"Malah, kecenderungan individu yang setiap hari menempuh perjalanan jauh untuk menjadi rabun juga tinggi kerana hampir separuh hari kehidupan mereka penuh dengan fokus di atas jalan dan untuk jangka panjang boleh menyebabkan rabun jauh.

"Bagi kesan dalaman pula, ia boleh memberi kesan psikologi, hormonal dan tekanan darah (hipertensi).

"Disebabkan itu, ada yang boleh menyebabkan terjadinya micro sleep kerana sudah pasti mereka ini kurang tidur dan mudah untuk terlelap," katanya kepada Harian Metro.

Dr Hanafiah berkata, dari segi psikologi jika memandu kenderaan untuk tempoh lama boleh menyebabkan tekanan terutama apabila berdepan kesesakan lalu lintas akibat nahas atau sebagainya.

Beliau berkata, sekiranya berada dalam situasi stres ketika memandu, lebih-lebih lagi tempoh perjalanan pulang ke rumah menjadi panjang, hipertensi dan gangguan hormon boleh berlaku dan risau ia boleh menyebabkan gangguan jiwa.

Disiarkan pada: May 20, 2023 @ 12:00pm
d