utama

Enam malim gunung bawa turun jenazah Awang Askandar

Oleh Samadi Ahmad

Putrajaya: Jenazah pendaki Malaysia Everest 2023 (ME2023) Allahyarham Awang Askandar Ampuan Yaacub, 56, dibawa turun dari kem empat bermula 7 pagi waktu Nepal hari ini.

Ketua Misi ME 2023, Azim Afif Ishak, 35, berkata proses menurunkan jenazah dikendalikan enam malim gunung secara manual menggunakan pengusung dan dilakukan secara bergilir-gilir sehingga ke kem dua.

Menurutnya, sebelum dibawa turun jenazah dibalut dan diikat terlebih dahulu pada pengusung bagi tujuan keselamatan.

Katanya, jenazah dijangka tiba di kem dua pada lewat petang atau malam sebelum diterbangkan ke hospital di Kathmandu dengan helikopter bagi proses bedah siasat.

"Bagaimanapun, segala usaha ini bergantung kepada keadaan cuaca dan sekiranya tidak mengizinkan jenazah akan diterbangkan esok pagi," katanya ketika dihubungi hari ini.

Jumaat lalu media melaporkan, Allahyarham Awang Askandar meninggal dunia selepas berhadapan masalah kesihatan ketika berada 8,000 meter dari aras laut dalam misi menawan puncak Everest.

Dalam perkembangan lain Azim berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) pendaki ME 2023 orang kurang upaya (OKU) pendengaran, Muhammad Hawari Hashim, yang hilang diteruskan sehingga 28 Mei ini.

Katanya, SAR memasuki hari ke empat itu membabitkan Persatuan Operator Ekspedisi merangkumi semua operator yang ada termasuk malim gunung yang dilantik.

"Aktiviti pendakian ke puncak akan ditutup bermula 29 Mei ini dan beberapa prosedur perlu dibuat serta dipatuhi sekiranya jasad Hawari tidak ditemui," katanya.

Hawari berjaya menawan puncak Everest pada 3.30 petang Khamis waktu Nepal, namun dilaporkan hilang keesokan harinya, selepas dipercayai meninggalkan kem empat secara bersendirian tanpa pengetahuan malim gunung.

Sementara itu, abang Allahyarham Awang Askandar, Awang Asim Ampuan Yaacub, 57, berkata, mereka sekeluarga bersyukur jenazah adiknya dapat dibawa turun hari ini serta berharap prosesnya berjalan lancar.

Katanya, berita itu turut dimaklumkan Kementerian Luar semalam dan sekiranya tidak berdepan masalah jenazah dijangka tiba di Lapangan Terbang Kota Kinabalu, Sabah pada 25 Mei dan selewat-selewatnya 27 Mei ini.

"Ahli keluarga juga sudah berbincang dan bersetuju jenazah Allahyarham akan dikebumikan bersebelahan pusara arwah ibu, Dayang Fatimah Ampuan Jair di Kampung Banoni, Papar," katanya ketika dihubungi hari ini.

Disiarkan pada: May 22, 2023 @ 4:28pm
d