utama

Kempunan jadi tetamu Allah

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Putrajaya: "Saya dan suami sudah kumpul wang selama tiga tahun untuk merealisasikan hasrat menunaikan ibadah umrah pada 10 Ramadan terakhir di Tanah Suci, namun impian itu tidak kesampaian," kata Nur Farihah Ismail, 39.

Nur Farihah mendakwa dia seorang daripada 602 individu kecewa selepas gagal menunaikan umrah kerana agensi pelancongan yang dipilih gagal menjalankan tanggungjawab sebagai ejen pengendali ibadah itu meskipun mereka sudah membuat pembayaran penuh.

Katanya, dia membuat bayaran deposit RM10,000 bagi dua orang (bersama suami) pada Disember tahun lalu dan dijadualkan berangkat ke Tanah Suci pada 7 April lalu selepas membuat pembayaran penuh bagi pakej premium sebanyak RM41,980 bagi dua orang pada Januari lalu.

Namun katanya, menjelang tarikh berkenaan tiada penerbangan dibuat dan alasan syarikat itu adalah permohonan visa bakal jemaah belum mendapat kelulusan Arab Saudi.

"Apabila kami tidak jadi terbang pada 7 April lalu, kami dimaklumkan oleh syarikat yang mencadangkan penyelesaian sama ada pemulangan semula wang atau tunda tarikh penerbangan.

"Namun sehingga kini, bayaran semula wang berkenaan belum kami terima dan syarikat terbabit belum memberikan kata putus mengenai status kes ini," katanya yang membuat laporan berhubung perkara itu di Kajang pada 7 April lalu.

Sementara itu, Ketua Jawatankuasa Bertindak Mangsa Umrah Emraz, Rusman Abu Samah berkata pihaknya mengumpul invois, resit serta bukit pembayaran bank oleh jemaah umrah syarikat itu yang terkesan.

"Berdasarkan data diperolehi terdapat sekurang-kurangnya 157 ketua keluarga (invois) dengan jumlah jemaah terkesan 602 orang membabitkan tuntutan melebihi RM6.2 juta.

"Ia merangkumi tarikh perjalanan umrah pada Disember 2020 sehingga 19 Mei lalu. Kami tidak menolak kemungkinan jumlah sebenar mangsa serta kerugian mungkin lebih daripada itu," katanya ketika ditemui di pejabat syarikat agensi pelancongan itu di sini, semalam.

Katanya, berdasarkan rekod, ada dalam kalangan jemaah yang sudah menghantar notis pembatalan umrah dijadualkan pada Ogos ini hingga Januari 2024 serta menuntut segala pembayaran sudah dibuat dengan jumlah tuntutan melebihi RM331,000.

"Mengikut rekod kami, bagi tuntutan bermula Februari 2020 (tertunda kerana Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hingga Disember 2022 adalah kira-kira RM280,000 membabitkan 40 jemaah.

"Bagi tuntutan bermula 21 Februari 2023 hingga 15 Mac lalu (sebelum Ramadan) ialah melebihi RM1.6 juta membabitkan kira-kira 198 jemaah," katanya.

Rusman berkata, jumlah tuntutan tinggi direkodkan adalah perjalanan umrah ketika Ramadan tahun ini apabila syarikat itu membatalkan atau penjadualan semula bagi Pakej Umrah Ramadan.

"Ia dibuat melalui memo bertarikh 29 Mac dan 4 April lalu dengan tuntutan hampir RM3.5 juta membabitkan 264 jemaah.

"Berdasarkan rekod kami juga, terdapat kira-kira 12 individu sudah mendapat cek bertarikh hadapan tetapi ia dipulangkan semula oleh pihak bank kerana syarikat itu mengarahkan untuk memberhentikan cek berkenaan," katanya.

Menurutnya, tidak dinafikan ada beberapa individu ditawarkan untuk diterbangkan dan sudah berangkat menunaikan umrah, namun jumlah itu jauh lebih kecil daripada jumlah yang terkesan.

"Meskipun ada beberapa individu yang sudah mendapat pulangan semula wang, namun jumlah itu jauh amat kecil dibandingkan dengan tuntutan keseluruah iaitu dianggarkan hanya sekitar RM100,000.

"Justeru, kami mendesak syarikat itu membayar keseluruhan jumlah bayaran kami dengan dalam tempoh 14 hari sejajar dengan Peraturan-peraturan Industri Pelancongan 1992.

"Untuk makluman, semua jemaah sudah membayar penuh bayaran dikemukakan dalam tempoh dua bulan sebelum tarikh penerbangan seperti dikehendaki syarikat itu," katanya.

Sementara itu, Emraz Travel & Tours Sdn Bhd (Emraz) dalam kenyataannya kepada Harian Metro berkata, pihaknya sedang mengemas kini jadual umrah dan membuat pembayaran balik kepada bakal jemaah yang terjejas penerbangan mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif Emraz, Datuk Dr Zulkarnain Endut berkata, proses itu akan dapat diselesaikan dengan mudah dan cepat sekiranya pihak jemaah yang terbabit turut bekerjasama dengan pengurusan syarikat.

"Emraz komited memastikan mereka yang terbabit akan mendapat semula wang mereka. Kita menafikan dakwaan kononnya Emraz akan menutup operasinya seperti dakwaan yang tular di media sosial.

"Baru-baru ini, pihak syarikat menghantar semula jemaah ke Tanah Suci sebagai langkah memulihkan semula perkhidmatan dan mengembalikan kepercayaan pelanggan selepas berdepan isu, beberapa bulan lalu," katanya.

Katanya, Emraz sudah membuat dua penerbangan iaitu pada 17 dan 19 Mei lalu bagi melihat sendiri kos pengurusan jemaah dapat dilakukan dengan jumlah operasi yang lebih kecil berbanding sebelum ini.

"Seramai 91 jemaah sudah diterbangkan dalam dua trip pemulihan yang dilaksanakan itu.

"Pemulihan operasi diharap dapat dilaksanakan selepas musim umrah yang akan dibuka selepas musim haji," katanya.

Dalam pada itu, Zulkarnain turut meminta bakal jemaah hanya merujuk kepada syarikat itu untuk mendapatkan sebarang maklumat yang sahih.

Sebelum ini media melaporkan kira-kira 70 bakal jemaah umrah kendalian Emraz Travel & Tours Sdn Bhd (Emraz) menuntut kembali wang dianggarkan berjumlah RM1.8 juta selain passport selepas agensi berkenaan gagal membawa mereka menunaikan ibadah itu seperti dijanjikan.

Sementara itu, Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin dalam kenyataan semalam berkata, pihaknya menerima 105 laporan berhubung isu berkaitan pakej umrah ditawarkan oleh Emraz Travel & Tours Sdn Bhd.

Katanya, sehingga kini, sebanyak enam kertas siasatan sudah dibuka.

"Hasil siasatan mendapati syarikat itu mempunyai lesen perniagaan yang sah. Keseluruhan kerugian dianggarkan berjumlah RM3.9 juta.

"Kes itu disiasat disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana melakukan penipuan," katanya.

Disiarkan pada: May 24, 2023 @ 12:01pm
d