utama

'Makcik maafkan dia, semoga Allah ampunkan dia'

Oleh Muhamad Lokman Khairi

Bagan Datuk: "Makcik terkejut dia sampai sanggup hunus parang ke leher mak sendiri, sebelum ini dia tak pernah agresif sampai tahap begitu," kata warga emas berusia 72 tahun yang menjadi mangsa ugutan anak lelaki sebelum ditembak polis di Kampung Teluk Kompol, Hutan Melintang, dekat sini, kelmarin.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan suspek yang berusia 44 tahun maut selepas anggota polis yang cuba menyelamatkan mangsa melepaskan satu das tembakan yang mengenai bahagian bahu kiri.

Ibu yang enggan namanya disiarkan itu berkata, anak lelakinya yang baru saja pulang bekerja bertindak agresif mengacu parang di leher sebaik menyedari kehadiran beberapa pegawai polis di luar rumah.

"Anak lelaki makcik tanya; 'Mak ke yang panggil polis?' Makcik kata bukan dan tak mungkin abang atau kakak dia.

"Dia kata dia tak mahu masuk ke dalam (penjara), sambil tangannya hunus parang ke arah makcik.

"Polis minta anak lelaki makcik istighfar. Makcik tak boleh kata apa, risau jika melawan, parang dah menanti di leher.

"Lama polis cuba pujuk anak makcik, mungkin dua atau tiga jam sebelum mereka potong pintu jeriji dan masuk ke ruang dalam rumah," katanya ketika ditemui di kediamannya, hari ini.

Dia berkata, anak lelakinya seorang yang rajin bekerja dan disenangi penduduk namun berubah sikap apabila bercerai dengan isteri beberapa tahun lalu tanpa pernah menceritakan punca perpisahan kepadanya.

"Dia cuma cakap biarlah dia tinggal dengan saya supaya boleh jaga saya. Dia tak pernah melawan cakap saya, malah rajin memasak dan kemas rumah.

"Bangun saja awal pagi terus pergi kerja, tak pernah juga merayap waktu malam kerana memang orangnya tidur awal di rumah," katanya.

Katanya, dia bagaimanapun langsung tidak mengetahui sejak bila anak ketujuh daripada lapan beradik itu mengambil dadah.

"Emak mana yang tak sayangkan anak sendiri. Makcik sudah maafkan dia dan makcik doakan Allah ampunkan dia," katanya sebak.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, bedah siasat di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh mendapati suspek positif tiga jenis dadah.

"Pihak perubatan mendapati suspek mengambil dadah jenis amphetamine, methampethamine dan morphine," katanya ketika ditemui semasa melawat mangsa di Kampung Teluk Kompol bersama kaunselor Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kakak kepada suspek yang juga tidak mahu namanya dikenali berkata, adik lelakinya itu pernah dibawa ke pusat pemulihan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), sebelum dibebaskan sebelum Ramadan lalu.

Menurutnya, dia berasa terkilan kerana adiknya itu pergi buat selamanya, namun reda dengan ketentuan Tuhan.

Disiarkan pada: May 25, 2023 @ 3:23pm
d