utama

Doktor pernah syor supaya Nur Delisha digugurkan

Oleh Redzuan Muharam

Tumpat: "Doktor kata anak saya bayi bertuah, ada juga yang panggil bayi kemo (kemoterapi)," kata peniaga dalam talian, Mohd Hamimi Mohd Zulkifly.

Mohd Hamimi, 33, dan isteri, Norsaidatul Akma Ismail, 36, pernah diuji apabila hampir kehilangan anak keempat mereka, Nur Delisha Darwisyah.

Ia selepas doktor mengesyorkan kandungan digugurkan kerana mengambil kira keadaan Norsaidatul Akma yang menghidap barah payudara dan perlu menjalani rawatan kemoterapi.

Ditakdirkan, kandungan dapat diselamatkan dan Norsaidatul Akma selamat melahirkan Nur Delisha Darwisyah pada 3 April lalu bersamaan 13 Ramadan, malah bayinya sihat sehingga kini.

Berkongsi kisah itu, Mohd Hamimi, yang menetap di Chabang Empat, di sini mengakui berat untuknya menerima ujian itu pada awalnya hingga mengalami serangan panik pada hari isterinya disahkan menghidap barah.

Lebih berat lagi apabila dia turut kehilangan kerja sehari selepas menerima khabar duka itu.

"Isteri saya disahkan menghidap barah payudara pada 28 Ogos hasil pemeriksaan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di Kota Bharu.

"Selepas dapat keputusan itu, baru saya tahu yang isteri mengandung dengan kandungannya sudah berusia enam minggu.

"Tiga hari juga saya patah semangat selepas dapat tahu berita itu lebih-lebih lagi apabila diberitahu kemungkinan kandungan digugurkan namun isteri lebih kuat malah dia yang beri semangat untuk saya bangkit," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Mohd Hamimi, isterinya menjalani pembedahan membuang sel barah dan payudara sebelah kiri pada 28 September tahun lalu.

Mohd Hamimi bersyukur kerana pembedahan berjalan lancar walaupun dia gementar sepanjang isterinya bertarung nyawa dalam bilik bedah.

"Alhamdulillah, isteri selamat dan selepas kandungan berusia empat bulan, bermulalah enam sesi rawatan kemoterapi yang dijalankan sekali dalam setiap tiga minggu.

"Doktor ada beritahu jika bayi tidak kuat, kandungan akan gugur secara semulajadi namun dengan izin Allah, anak kami selamat malah sekali pun isteri tidak pernah muntah atau alahan teruk.

"Hanya keguguran rambut, kuku kebiruan dan pendarahan hidung, itu pun tidak teruk cuma anak kami terpaksa dilahirkan lebih awal kerana jarak antara kemoterapi dan radioterapi tidak boleh terlalu lama," katanya.

Meskipun hilang kerja dalam tempoh ujian itu, Mohd Hamimi anggap ada hikmah di sebaliknya kerana dapat memberi tumpuan untui menjaga isterinya.

"Saya mungkin hilang kerja tetapi Allah beri rezeki dapat jaga isteri dan anak kami.

"Itu sudah cukup kerana saya tak sanggup kehilangan isteri dan anak.

"Syukur anak dan isteri saya sama sama kuat berjuang bersama ibunya," katanya.

Berhubung perkongsiannya di laman sosial, Mohd Hamimi berkata, niatnya adalah memberi semangat kepada pesakit barah lain dan tanda penghargaan atas pengorbanan isterinya yang bertarung nyawa dalam melahirkan zuriat mereka.

"Alhamdulillah, ramai beri semangat dan menitipkan doa walaupun tak mengenali kami.

"Saya sendiri ada beritahu isteri untuk bersyukur kerana jika kita berasa ujian dilalui berat, ada orang lain yang lebih teruk daripada itu.

"Alhamdulillah, isteri dalam keadaan baik dan akan menjalani rawatan radioterapi akhir sebanyak 15 sesi di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian bulan ini dan sdibekalkan ubat kemo jenis telan (xeloda) selama setahun." katanya yang turut berterima kasih kepada semua kakitangan hospital atas pertolongan diberikan.

Disiarkan pada: June 9, 2023 @ 8:00am
d