utama

Syahril terima lebih 10 tawaran sambung belajar, biasiswa

Oleh Nor Amalina Alias

Bachok: Pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 11A yang tular menjaga ibu sakit, Muhammad Syahril Saidi menerima lebih 10 tawaran untuk melanjutkan pelajaran termasuk biasiswa.

Syahril, 18, berkata dia perlu melakukan solat istikharah dan berbincang dengan ahli keluarga sebelum membuat sebarang keputusan.

Menurutnya, setakat ini dia mahu meneruskan pengajian di Maahad Yaakubiah Kampung Nipah, di sini, untuk menduduki Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) bagi mencapai cita-cita menjadi seorang pensyarah.

"Saya akan buat perancangan, langkah demi langkah untuk pilih mana yang terbaik. Tawaran memang banyak daripada pelbagai agensi, saya ucapkan seribu penghargaan dan terima kasih kepada semua yang bagi tawaran biasiswa.

"Doakan saya dan keluarga, semoga kita semua berjaya dunia akhirat dan jadi pemimpin Islam yang benar-benar membawa kebenaran," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kandis, di sini, hari ini.

Pelajar Sekolah Menengah Ugama (A) Darul Iman, Beris Lalang berkata, dia tidak sepatutnya seorang sahaja diraikan atas kejayaan dalam SPM, tetapi individu di sekeliling yang banyak membantunya seperti abang, kakak, ibu bapa saudara dan guru-gurunya yang mengetahui kesusahan hidupnya sebelum ini.

Menurutnya, mereka adalah insan di sebalik tabir yang mendorong kejayaannya terutama arwah ibunya, Tuan Faridah Tuan Ismail, 53, yang baru meninggal dunia, Sabtu lalu.

"Banyak yang arwah umi pesan pada saya, tapi biarlah jadi simpanan peribadi saya," katanya yang turut menerima tawaran biasiswa daripada Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan beberapa bank.

Sementara itu, bapa saudara Syahril, Rosmazuki Mat Jusoh, 45, berkata dia mengagumi kecekalan hati anak-anak saudaranya yang menjaga ibu mereka selepas kematian bapa mereka, Saidi Mat Jusoh sejak 11 tahun lalu.

Katanya, arwah ibu bapa mereka sering mengajar anaknya supaya tidak menyusahkan orang lain.

"Saya juga ingin berterima kasih kepada seorang Cikgu Shafie Sidik, antara individu paling banyak membantu mereka, tak ada budi yang kami dapat balas," katanya.

Akhlak baik Syahril, abang serta kakak-kakaknya turut mengundang simpati orang ramai sehingga ada mahu mengambil mereka sebagai anak angkat selain sering membawa makanan, keperluan harian dan membantu keluarga ini selepas ibu mereka diserang penyakit angin ahmar pada 2019.

Kesusahan dan pengorbanan remaja ini terbongkar selepas dia berjaya menjadi pelajar tunggal sekolahnya mendapat 11A dalam SPM 2022 yang diumumkan Khamis lalu.

Bagaimanapun, ibunya yang sakit meninggal dunia pada Sabtu lalu dan solat jenazah diimamkan Syahril.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di sebelah kubur suaminya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Padang Lati, di sini.

Disiarkan pada: June 13, 2023 @ 2:12pm
d