utama

Ceritera ratu rock sejati

Oleh Syafil Syazwan Jefri

PERJALANAN karier seni yang menjengah usia lebih tiga dekad bukan satu perjalanan yang singkat.

Tentunya sepanjang langkah itu, pelbagai pengalaman, dugaan, kepahitan dan kemanisan dapat dirasakan oleh figura yang mendapat jolokan Ratu Rock ini.

Bagi susuk bernama Ella Aminuddin, keberadaannya di pentas Konsert Jilid Akhir: Ella Puteri Kota yang berlangsung dua malam berturut-turut, Sabtu dan Ahad lalu menjadi pelengkap karier seninya dalam industri muzik tanah air.

Berkesempatan mengisi malam minggu lalu dengan hadir ke konsert penuh gemilang itu, RAP mencungkil isi hati Ratu Rock ini untuk berkongsi ceritera menarik.

"Saya tak tahu bagaimana nak luahkan perasaan saya. Yang pasti, saya, peminat lama serta peminat baharu menyimpan satu persamaan dan rasa sama dalam hati kami," katanya.

Tampil bertenaga saat beraksi di pentas Axiata Arena, Bukit Jalil malam itu, Ella turut berkongsi bagaimana latihan serta rutin konsisten banyak membantunya.

"Apa yang penting adalah latihan, senaman dan rutin secara konsisten. Selain itu, perlu ada semangat yang kuat juga untuk saya menjayakan konsert ini," katanya.

Dalam konsert itu, Ella mempersembahkan deretan lagu popularnya sepanjang zaman.

Tidak sekadar tampil sendirian, Ella turut 'ditemani' suami tercinta, Azhar Ghazali mempersembahkan lagu Peace Love Rindu secara duet.

"Sebenarnya agak mencabar juga untuk saya memujuk suami. Memang agak susah sikit, tetapi alhamdulillah semuanya berjalan lancar," katanya.

Usai menyanyikan lagu itu, Ella menjelaskan kepada ribuan penonton yang hadir bahawa itu bukan konsert terakhirnya seperti andaian ramai peminat.

"Ini bukan konsert terakhir saya, sebaliknya cerita mengenai konsert ini akan menjadi pelengkap jilid terakhir dalam buku saya yang akan dikeluarkan nanti," katanya.

Tidak hanya menyentuh hati dengan 'kemanisan' pasangan suami isteri itu, hati dan emosi penonton turut disentuh tatkala Ella mempersembahkan lagu di segmen 'tribute' buat ibunya, Allahyarham Yang Asmah Yong yang meninggal dunia pada Mac tahun lalu.

"Saya rindukan ibu saya. Jadi, saya sampaikan kerinduan saya melalui segmen 'tribute' ini. Saya tahu, dia kini berada di tempat yang lebih baik dan indah," katanya.

Di acara dua malam itu juga, Ella tampil berduet dengan dua bintang rock legenda tanah air yang memegang julukan masing-masing.

Malam pertama menyaksikan Ella berduet bersama Raja Rock, Datuk Amy Search menerusi lagu popularnya, Dua Insan Bercinta manakala pada malam kedua bersama Papa Rock, Datuk Ramli Sarip menerusi lagu Kembara Kita.

Konsert Jilid Akhir: Ella Puteri Kota juga membuktikan bahawa Ella masih mampu berjuang di pentas konsert dengan penuh bertenaga.

Lebih menarik, konsert kali ini juga menggunakan teknologi xyloband yang diedarkan kepada semua penonton, sekali gus mewujudkan lautan cahaya berwarna-warni dalam stadium.

Menutup acara konsert malam pertama, Ella juga menerima sijil pengiktirafan 'Most Concert Tickets Sold Out: 10,000 Tickets in 24 Hours' daripada Malaysia Book of Records.

"Saya berbangga atas penghormatan dan penghargaan daripada peminat saya dan saya ucapkan terima kasih," katanya.

Selepas ini, Ella bakal bertemu penonton di acara konsert yang berlangsung di Singapura pada Ogos depan selain bakal menerbitkan bukunya.

Disiarkan pada: June 15, 2023 @ 6:00am
d