utama

Pak Tam buat apa sahaja asalkan isteri ketawa, tersenyum

Oleh Redzuan Muharam

Kuala Lumpur: Cekalnya bapa dua anak dikenali Pak Tam ini, bukan hanya gigih mencari rezeki buat keluarga tetapi komited mengurus dan menjaga isterinya, Norfaezan Ishak yang diserang angin ahmar dua bulan lalu.

Meskipun sibuk dengan komitmen sebagai usahawan makanan, Pak Tam, 38, cuba luangkan masa juga dengan isteri selain menguruskan anak yang berusia lapan dan 12 tahun.

Bercerita lanjut, Pak Tam berkata, dia tiada pilihan melainkan kuat kerana perlu memberi semangat kepada Norfaezan, 42, yang mengalami kemurungan selepas diserang angin ahmar.

"Isteri dulu sihat namun diserang angin ahmar secara mengejut pada hari raya kelima yang lalu.Hasil pemeriksaan di hospital mendapati isteri diserang angin ahmar pada bahagian kiri badan berpunca akibat darah tinggi.

"Ketika dapat berita itu, isteri jadi patah semangat kerana tak boleh terima keadaan dirinya. Tahap kemurungannya semakin serius selepas keluar hospital dan pulang ke rumah kerana berasa dirinya tak berguna juga menyusahkan," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menyedari keadaan itu, Pak Tam cuba beri semangat, menggembirakan dan menjadi pendengar setia isterinya.

Berkaitan soal penjagaan pula, Pak Tam mengakui agak sukar pada awalnya kerana pengalaman menjaga pesakit angin ahmar jadi cuba lakukan carian di Internet bagi mendapatkan maklumat diperlukan.

"Setiap hari, saya akan bangun 5.30 pagi kemudian bersiap untuk hantar anak ke sekolah selepas Subuh dan pulang ke rumah bagi uruskan isteri termasuk mandi serta membawanya pergi sarapan.

"Awalnya dulu, isteri nak bangun pun tak boleh dan dia malu dengan keadaan dirinya tetapi kini dapat terima malah sudah boleh diajak makan sarapan di luar.

"Demi isteri, saya sanggup pusing satu taman cari makanan diinginkan. Setiap pagi, saya menyakatnya dengan jadi pak lawak, joker dan badut semata-mata nak tengok dia (isteri) ketawa dan tersenyum.

"Penat macam mana sekalipun, saya akan tukar jadi ceria setiap kali pulang dari kerja kerana nak isteri berasa positif sentiasa," katanya.

Menurut Pak Tam, dia sedia maklum isterinya tidak akan sembuh sepenuhnya daripada derita yang ditanggung.

Bagaimanapun, Pak Tam berdoa semoga ada keajaiban dan isterinya dipanjangkan umur bagi melihat anak mereka membesar di depan mata.

"Doktor kata isteri tak boleh sembuh sepenuhnya, mungkin 70 ke 80 peratus saja. Tapi saya tetap bersyukur kerana dia banyak tunjukkan perubahan ke arah lebih baik berbanding sebelum ini.

"Kisah ringkas mengenai isteri pun saya ada kongsikan menerusi video di TikTok dan Alhamdulillah, dapat banyak komen positif dengan rata-rata mendoakannya," katanya.

Disiarkan pada: June 15, 2023 @ 7:16pm
d