utama

Demi ibu, adik Nur Imman sanggup tak makan

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

Gombak: Usianya baru mencecah 12 tahun, namun keprihatinan Nur Imman Syuhada Kamaruddin melebihi segalanya apabila sanggup menjaga ibu yang terlantar sakit sejak Julai lalu.

Tanggungjawab itu diambil Nur Imman Syuhada atau lebih mesra disapa Imman demi kasih pada ibu, Norizan Mat Awal, 53, yang diserang angin ahmar sebelah badan di bahagian kiri.

Keadaan itu juga memaksa kanak-kanak tahun enam tidak hadir ke sekolah beberapa kali sejak ibunya yang juga ibu tunggal kematian suami, terlantar sakit di rumah.

Kehidupan keluarga berkenaan juga kian dihimpit kesukaran sejak Norizan yang sebelum ini menjual barang terpakai tidak mampu berkerja sehingga pernah terputus bekalan makanan.

Imman berkata, dia sendiri memilih untuk menjaga ibu, Norizan sementara kakak, Nur Hidayah, 17, dan abangnya berusia 19 tahun berkerja.

"Sejak mak sakit, dia tidak boleh makan dan uruskan diri sendiri sebab itu Imman risau tinggalkan mak seorang diri di rumah. Imman nak mak cepat sihat dan tak kisah kalau Imman tak makan asalkan mak dapat makan dulu.

"Biasanya kakak akan masak sebelum pergi kerja dan Imman yang akan beri mak makan serta uruskan dia seperti tukar lampin pakai buang dan bersihkan badan mak," katanya ketika ditemui pada lawatan Persatuan Pertubuhan Kebajikan Dana Kita di sebuah Program Perumahan Rakyat (PPR) di sini, semalam.

Turut hadir, Presidennya, Cikgu Mohd Fadli Salleh dan bendahari, Muhammad Zahran Yaacob yang juga guru di sekolah Nur Imman Syuhada menyampaikan sumbangan kepada keluarga itu.

Imman yang juga anak bongsu daripada enam beradik itu berkata, dia masih semangat untuk bersekolah dan masih bertanyakan rakan mengenai pembelajaran dan tugasan biarpun tidak hadir ke sekolah.

"Imman juga mahu berjaya dan sekarang kakak sudah berhenti kerja. Jadi saya boleh pergi sekolah setiap hari. Imman juga mahu habiskan sekolah dan mahu mengejar cita-cita menjadi doktor," katanya.

Kakaknya, Nur Hidayah berkata, dia sudah tidak bersekolah sejak berusia 13 tahun kerana desakan hidup dan tidak mahu membebankan ibunya yang kurang berkemampuan.

"Imman adik yang baik dan memahami kesukaran hidup kami tetapi saya juga mahu Imman meneruskan persekolahannya dan belajar sehingga ke universiti, malah dia saja harapan kami untuk berjaya dalam pelajaran," katanya yang sebelum ini berkerja di premis makanan.

Bagaimanapun Nur Hidayah mengakui sedih apabila dia dan Imman bakal berpisah dengan ibu mereka yang akan menjalani rawatan perubatan rehabilitasi di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Mak akan duduk di pusat itu, manakala saya dan Imman akan dihantar ke pusat jagaan. Kalau boleh saya tidak mahu berpisah dengan Imman dan sanggup menjaganya di rumah sewa kami sementara mak menjalani rehabilitasi.

"Saya juga akan pastikan Imman dijaga dengan baik dan ke sekolah setiap hari. Selepas mak sihat mak akan pulang ke rumah dan kami dapat bersama kembali," katanya.

Sementara itu, Norizan yang memakai tiub di leher untuk pernafasan dan bantu bercakap berkata, dia juga sedih dan tidak mahu berpisah dengan anaknya terutama Imman dan Nur Hidayah, namun terpaksa merelakannya.

"Saya harap Imman terus bersekolah dan berjaya dalam hidupnya biarpun dalam kesukaran hidup kami," katanya mendapat bantuan JKM sebanyak RM350 sebulan dan sewa rumah RM124 dibayar Baitulmal.

Dalam pada itu, Muhammad Zahran berkata, pihak sekolah mengetahui masalah dihadapi keluarga murid itu pada Mac lalu selepas menyedari ketidakhadiran Imman ke sekolah.

Katanya, mengenai harapan dua beradik itu yang tidak mahu berpisah, Cikgu Mohd Fadli akan cuba berbincang dengan pihak JKM untuk mendapatkan penyelesaian terbaik.

"Sebelum ini sudah beberapa kali kita melawat Imman dan sekolah kami juga membuat kutipan untuk membantu dia.

"Dalam masa sama, Pertubuhan Kebajikan Dana Kita juga merancang untuk menceriakan rumah Imman supaya dia dapat tinggal dan mengulangkaji pelajaran dalam suasana yang lebih kondusif dalam masa terdekat," katanya.

Bagi yang ingin membantu menyalurkan sumbangan boleh menghubungi Cikgu Muhammad Zahran di talian 01126263654.

Disiarkan pada: June 17, 2023 @ 3:07pm
d