utama

Bakat seindah rupa

Oleh Zaara Talita

BERDARAH gabungan pelbagai kacukan, kecantikan aktres sensasi Sophia AlBarakbah sememangnya tidak boleh disangkal.

Bukan hanya parasnya, malah proses pembesaran Sophia juga unik dengan latar belakang bangsa dan budaya yang berbeza.

Bukan sekadar menjual rupa paras jelita, Sophia juga seorang yang boleh dikatakan 'beauty with brain' (bijak dan cantik). Dia adalah graduan Diploma Bioteknologi dari sebuah universiti swasta.

"Bercerita mengenai kacukan, banyak sebenarnya. Ibu saya orang Cina, ayah pula Arab-Melayu. Datuk saya asal dari Yaman dan ibu bapa mereka datang dari Yaman dan Persia.

"Saya belajar bioteknologi dan selepas itu, saya belajar bidang dietetik. Ambil Diploma Bioteknologi dan lepas itu, saya buat latihan amali selama tiga bulan dalam bidang berkenaan.

"Saya suka bidang itu, namun kurang suka bekerja dalam makmal kerana memperuntukkan banyak masa dalam kawasan yang sama saja," katanya.

Pernah terpalit dengan kontroversi panas apabila terjatuh hati pada gandingan dalam sebuah drama, Sophia enggan menoleh ke belakang lagi.

Sophia tidak mahu lagi membangkitkan isu itu memandangkan drama lakonan mereka berjudul Ku Akad Kau Dengan Bismillah sudah selesai menjalani penggambaran.

Bagi Sophia, cukup pihak terbabit yang tahu cerita sebenar di sebalik kejadian termasuk Bella yang pernah mendedahkannya bermain cinta dengan rakan seangkatan, Aliff Aziz di lokasi penggambaran.

"Saya rasa cerita ini sudah lama dan semua orang patut 'move on'. Kami pun sudah selesai menjalani penggambaran. Cukuplah hanya orang terlibat sahaja tahu.

"Cukuplah saya mengulas mengenai isu ini dan kalau boleh saya tidak mahu memberikan sebarang kenyataan lagi. Saya rasa lebih baik pandang ke hadapan saja," katanya.

Sebelum ini, dia pernah menjadi bahan kecaman ramai apabila didakwa menyimpan perasaan terhadap aktor gandingannya dalam drama Ku Akad Kau Dengan Bismillah itu.

Perkara itu mencetuskan kemarahan isteri Aliff iaitu Bella Astillah sehingga mendedahkan tangkap layar perbualan WhatsApp bersama Sophia dalam media sosial.

Sementara itu, selepas mengakui sedang hangat menjalin hubungan cinta dengan seorang lelaki berstatus doktor, Sophia kini lebih terbuka mendedahkan teman lelakinya di khalayak ramai.

Malah, aktres sensasi itu dilihat lebih selesa membawa insan tersayang yang dikenali sebagai Mr Doktor untuk mengiringinya ke pelbagai acara hiburan.

"Sebenarnya saya serahkan kepada teman lelaki sama ada mahu menemani saya atau tidak. Nampaknya dia okey sahaja.

"Sebelum ini bukan saya tidak mahu memuat naik gambar atau video yang menampakkan wajahnya, cuma dia seorang yang 'private' jadi saya menghormati prinsipnya," katanya.

Sophia menjelaskan akan memperkenalkan kekasih hatinya yang dikenali dengan panggilan Mr Doktor selepas mereka mendirikan rumah tangga.

Pelakon drama Suamiku Lelaki Pendosa itu bagaimanapun mengambil pendekatan untuk tidak mengulas lanjut mengenai perancangan perkahwinannya, sebaliknya memohon doa terbaik daripada semua pihak.

"Bagi saya sendiri pun tak suka kongsikan terlalu banyak. Tapi, kalau dah kahwin nanti, saya akan perkenalkan kepada semua.

"Saya tak mahu mengulas panjang lagi, buat masa ini belum ada tarikh lagi. Yang pasti, doakan yang terbaik," katanya.

Menurut Sophia, dia juga sudah lama mengenali Mr Doktor dan bersyukur kerana dikurniakan kekasih yang memahami kerjayanya sebagai pelakon.

Disiarkan pada: June 18, 2023 @ 6:00am
d