utama

Pegawai wanita hina anggota polis ditahan

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Pegawai polis wanita yang terbabit dalam kejadian mencemuh dan menghina anggota polis pangkat bawahan di Taman Sri Gombak, Batu Caves, Khamis lalu, ditahan polis.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pegawai wanita itu ditahan awal pagi tadi bagi melengkapkan siasatan berhubung kes berkenaan.

"Wanita itu akan diberi jamin petang ini selepas melengkapkan keterangannya.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil," katanya ketika dihubungi hari ini.

Semalam, suspek yang juga penjawat awam itu sudah memberikan keterangan di Bahagaian Siasatan Jenayah , Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak.

Jumaat lalu, Jumaat, tular video memaparkan seorang wanita didakwa mengeluarkan kata-kata berbentuk hinaan kepada anggota polis dalam kejadian dipercayai berlaku di Gombak.

Video berdurasi 25 saat itu memaparkan individu berkenaan dipercayai merupakan seorang pegawai polis meninggikan suara dengan mengatakan anggota polis berkenaan tidak layak menegurnya.

Hari ini, tular satu lagi video membabitkan pegawai polis wanita itu di kawasan parkir pusat beli-belah di Brickfields.

Berdasarkan laporan polis yang dibuat wanita terbabit, kejadian berlaku ketika dia bersama ibu dan neneknya yang berada di dalam kereta.

Bagaimanapun, secara tiba-tiba datang sebuah kenderaan ingin masuk ke parkir kosong dan pemandu membunyikan hon serta memarahi wanita terbabit.

Disiarkan pada: June 18, 2023 @ 12:00pm
d