utama

'Rohana terbaik buat saya dalam semua aspek' - Suami

Oleh Norhayati Nordin

Subang Jaya : Suami Allahyarham Rohana Jalil iaitu Jahangir Khan, 66, menyifatkan Allahyarham isterinya sebagai wanita terbaik yang menjadi suri hatinya sehingga ke akhir hayat.

Jahangir yang juga pesara polis ketika ditemui berkata, keperibadian isterinya adalah terbaik walaupun mereka bersatu dari dua latar kerjaya berbeza, namun kekal hidup bersama selama 40 tahun.

"Apa yang saya boleh rangkumkan mengenai keperibadian arwah isteri, dia adalah terbaik dalam semua aspek. Saya bertuah kami dapat kekal hidup bersama sehingga akhir hayatnya.

"Walaupun kami sibuk dengan kerjaya masing-masing iaitu saya sebagai anggota polis dan dia penyanyi, namun kehidupan rumah tangga kami bahagia kerana sikapnya yang baik," katanya ketika ditemui di pengebumian Rohana di Tanah Perkuburan Islam USJ22, di sini, hari ini.

Ditanya bila dia menyedari isterinya kurang sihat, Jahangir yang sudah enam tahun bersara berkata, dia menyedarinya hujung tahun lalu apabila melihat tubuh Rohana semakin kurus.

"Apabila melihat tubuhnya semakin susut dan kurus, saya ada mengajak arwah ke hospital untuk melakukan pemeriksaan, tapi dia menolak tidak mahu pergi dan memberitahu tiada apa-apa.

"Sehinggalah pada April lalu apabila dia sudah sakit, saya terus bawa ke hospital dan doktor memaklumkan arwah mengalami kebocoran usus. Selama dua bulan saya bersama anak-anak dapat menjaganya," katanya.

Jahangir berkata, dia juga bersyukur tiga anak perempuannya sudah boleh hidup berdikari.

Katanya, dia akan menghabiskan sepenuh masanya selepas ini bersama anak-anak.

Jenazah Rohana yang meninggal dunia di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) jam 11.33 malam tadi dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ22, di sini, jam 11.45 pagi, hari ini.

Disiarkan pada: June 21, 2023 @ 2:32pm
d