utama

Nur Miza seiras Allahyarham Siti Sarah

Oleh Redzuan Muharam

Sik: Gara-gara memiliki wajah seiras penyanyi, Allahyarham Siti Sarah Raisuddin, Nur Miza Najla Mustaffa mendapat perhatian netizen di laman sosial baru-baru ini.

Ia selepas ibu saudaranya, Nur Atira Nasaruddin, 23, memuat naik video Nur Miza Najla, 9, di TikTok.

Anak sulung daripada dua beradik itu mengakui tidak tahu videonya tular sehingga diceritakan ibu saudaranya.

Nur Miza Najla yang juga murid Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI), di sini itu berkata, dia sedar persamaan wajahnya dengan Allahyarham Siti Sarah selepas sering diperkatakan oleh individu terdekat.

"Saya memang minat kak Sarah (Allahyarham Siti Sarah), tahu juga lagunya.

"Walaupun tak pernah jumpa, saya sedih apabila dapat tahu berita kak Sarah meninggal dunia sebelum ini.

"Ramai kata wajah kami sama, sampai di sekolah cikgu dan rakan pun panggil saya Siti Sarah," katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, ibu saudaranya, Nur Atira berkata, perkongsiannya di TikTok baru-baru ini adalah sekadar untuk suka-suka saja.

Bagaimanapun, Nur Atira tidak menyangka video perkongsiannya itu akan tular di laman sosial.

"Saya jarang pulang ke kampung cuma kebetulan berpantang di sini maka Miza (nama panggilan) sudah jadi macam kawan saya.

"Pada satu hari, saya bosan jadi isi masa terluang dengan solek wajahnya kemudian muat naik video di TikTok.

"Lagipun, sejak awal kahwin dengan suami lagi saya sudah nampak wajah Miza seiras Allahyarham Siti Sarah jadi nak tengok adakah itu pandangan saya saja atau sebaliknya.

"Kebetulan, saya muat naik video itu pada dengan hari pernikahan Shuib dan pasangannya Watie tetapi tak tahu mengenainya.

"Mungkin sebab itu ramai tengok video saya hingga tular," katanya.

Nur Atira berkata, ramai yang beri komen positif juga mengakui persamaan wajah anak saudaranya dan Allahyarham Siti Sarah.

"Tapi ada juga kata tak sama dan tuduh saya cuba cari perhatian.

"Sedangkan, saya sekadar nak kongsi saja dan bersyukur kerana ramai yang tengok kemudian sedekahkan al-Fatihah buat Allahyarham.

"Daripada situ, saya sedar ramai rindukan Allahyarham dan diharap perkongsian itu mengubati kerinduan mereka," katanya yang turut meminati lagu nyanyian Allahyarham Siti Sarah.

Disiarkan pada: June 28, 2023 @ 10:11pm
d