utama

'Kalau hampa pi, aku nak pi sekali'

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

Sik: "Kalau hampa (awak) pi (pergi), aku nak pi sekali tak mau (tidak mahu) jauh nak duduk dekat-dekat. Kalau hampa tak ada tiada makna (hidup ini)," itu ungkapan Ab Rani Arshad yang masih diingati anaknya sehingga kini.

Ab Rani, 65, meluahkan rasa itu ketika membalas ungkapan isteri, Azizah Hamid, 65, yang meminta lelaki itu tinggal bersama anak mereka jika dia meninggal dunia dahulu.

Takdir tertulis apabila permintaan lelaki warga emas berkenaan termakbul apabila dia menyusul isteri kesayangan ke negeri abadi selepas dua minggu wanita itu meninggal dunia.

Lebih menghibakan apabila jenazah Ab Rani dikafankan menggunakan lebihan kain kapan dan kapas yang ditinggalkan Azizah ketika urusan pengurusan jenazahnya dilakukan.

Kisah pasangan yang hidup bersama selama 47 tahun itu mendapat perhatian di TikTok apabila anak keempat mereka, Izzati, 33, memuat naik video mengenainya yang meraih 1.1 juta tontonan.

Berkongsi kisah itu, Izzati berkata, hasrat bapanya yang sentiasa mahu berada disamping ibu juga tercapai apabila jenazahnya disemadikan bersebelahan pusara wanita itu meskipun tidak dalam satu liang lahad.

Menurutnya, ibunya meninggal dunia pada November tahun lalu kerana komplikasi darah tinggi selepas 29 hari diserang angin ahmar, manakala bapa yang juga pesakit asma dan gaut dijemput Ilahi kerana penyakit asma pada Disember.

"Dua bulan sebelum mak sakit dia cakap yang dia tak tahu sama ada akan beraya dengan kami atau tidak nanti (tahun ini) dan suruh ayah duduk dengan anak tetapi ayah tidak mahu, malah dia cakap mahu ikut mak sekali.

"Perbualan itu saya masih ingat sehingga kini.

"Ayah memang sangat sayangkan mak dan sepanjang saya hidup ayah tak pernah meninggi suara pada mak serta kami, malah ayah selalu cakap mak isteri terbaik dan mereka selalu menghabiskan masa bersama.

"Mak pula selalu mengutamakan ayah, malah dia menjaga ayah yang tidak berdaya berjalan, tangan tidak kuat serta jari membengkok selain ada saraf sudah mati tetapi mak tidak pernah mengeluh penat," katanya memberitahu ibu bapanya tinggal di Kampung Kuala Ruman, di sini.

Bercerita lanjut, Izzati berkata, selepas ibunya meninggal dunia, bapanya mula menunjukkan perubahan apabila kesihatannya kurang baik dan tiada selera makan.

"Ayah bukan saja kehilangan isteri, malah dia hilang sahabat baiknya. Kehilangan mak memberi kesan mendalam pada ayah dan kehilangan mereka dalam tempoh yang dekat juga sangat menghibakan kami lima beradik, kami macam jatuh terduduk.

"Ketika mak meninggal dunia ada orang beritahu yang mak ada tinggalkan lebihan kain kapan dan kapas yang mana kami diberitahu itu antara petanda ada orang dekat nak ikut (meninggal dunia).

"Tak sangka ayah pula menyusul selepas itu dan ketika urusan pengurusan jenazah ayah, kain kapan dan kapas tidak cukup sebelum lebihan yang mak tinggalkan sebelum ini digunakan cukup-cukup untuk ayah," katanya.

Berhubung video TikToknya, Izzati berkata, sehingga kini dia masih merindukan ibu bapanya dan video itu adalah luahan rindunya selain mengikut trend video kehilangan seseorang sedang popular di media sosial itu ketika ini.

Disiarkan pada: July 1, 2023 @ 8:00pm
d