utama

Bayi lelaki lemas selepas hanyut ke sungai

Oleh Zuliaty Zulkiffli

Baling: Bayi lelaki berusia setahun tujuh bulan ditemukan lemas dipercayai hanyut ke Sungai Ketil, Lubok Pedati, di sini, hari ini.

Mangsa dikenali sebagai Adryan Mikail Mohd Afiq.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Mohd Jamil Mat Daud berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 12.04 tengah hari.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari BBP Baling yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Mohd Jusoh Abdul Wahab tiba di lokasi tidak lama kemudian.

"Setibanya di lokasi, Komander Operasi memaklumkan terdapat seorang bayi lelaki hanyut ke dalam sungai berhampiran sebuah tapak perkhemahan.

"Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah turut meminta maklumat dari Pasukan Bomba Sukarela (PBS) berhampiran.

"Operasi turut dibantu malim gunung dan polis, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Persatuan Rekreasi Luar dan orang awam," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Jamil berkata, mayat ditemukan kira-kira 3.3 kilometer (km) dari tempat dilaporkan hilang.

Beliau berkata, mangsa ditemukan oleh malim gunung dari pasukan mencari dan menyelamat (SAR) yang digerakkan oleh pasukan bomba.

"Mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Disiarkan pada: July 8, 2023 @ 2:10pm
d