utama

Usaha cari duit poket

Oleh Redzuan Muharam

Tanjung Malim: Status sebagai penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di sini, bukan penghalang kepada Muhammad Fariq Mohd Roduan untuk berusaha mencari duit poket sebagai jurulatih kecergasan.

Ini kerana Muhammad Fariq, 22, yang kini menuntut di semester empat Ijazah Sarjana Muda Sains Sukan dan Kejurulatihan tidak mahu bergantung harap dengan ibu bapa saja untuk menanggung bayaran pengajiannya.

Meskipun begitu, Muhammad Fariq tidak mengabaikan pelajaran, malah turut mencabar diri menyertai pertandingan syarahan agama Dai'e Milenial UPSI hingga dinobatkan sebagai johan.

Berkongsi kisahnya, Muhammad Fariq berkata, dia gemar mencungkil bakat dan mencari peluang untuk menonjolkan diri kerana enggan mensia-siakan usia muda.

Bagaimanapun, katanya, minatnya lebih cenderung kepada bidang kecergasan walaupun tidak mendapat galakan ketika mula menceburinya.

"Salah satu sebab saya aktif dalam bidang kecergasan adalah kerana berat badan yang tidak normal iaitu terlalu kurus berbanding yang sepatutnya.

"Disebabkan itu, saya lakukan perubahan kerana mahu tampil lebih yakin dan beri inspirasi kepada orang lain.

"Cuma, ayah saya tegas orangnya dan pada mulanya dia tak gemar apa yang saya buat kerana tak nampak hasilnya," katanya.

Menurutnya, dia tidak pernah berputus asa dan keluarganya mula bangga bila melihat ada perubahan positif lalu memberi sokongan hingga ke hari ini.

Katanya, tiada jalan pintas untuk sampai ke tahap sekarang, malah mengambil masa lima tahun untuk mendapat bentuk badan diinginkan.

"Rutin saya adalah melakukan senaman dua kali sehari dan hanya berehat sekali dalam seminggu.

"Memang susah nak paksa diri untuk konsisten dengan rutin kecergasan pada awal dulu. Malas itu ada, malah mental juga ada fasa jatuh dan bangunnya.

"Mengenangkan matlamat asal, saya cuba bertahan dan lama kelamaan dapat membiasakan diri," katanya yang baru-baru ini dinobatkan sebagai johan kategori badan cantik bawah 70 kilogram (kg) bagi pertandingan Mr Awang Selamat 2023.

Disiarkan pada: July 12, 2023 @ 6:30am
d