utama

Langkah berani Ernie Zakri

Oleh Georgie Joseph

TIADA angin, tiada ribut, Ernie Zakri rupa-rupanya sudah bertukar syarikat rakaman serta pengurusan dan diumumkan menyertai Universal Music Malaysia (UMM), baru-baru ini.

Perkembangan ini sekali gus mengesahkan dia tidak lagi bersama Rocketfuel Entertainment.

Ernie atau nama sebenarnya Nur Ernie Shahirah Zakri, 31, mengakui keputusan itu adalah langkah beraninya demi terbang lebih jauh dalam industri muzik termasuk meneroka pasaran antarabangsa.

Dia juga enggan terus berada di takuk sekarang selepas lebih 14 tahun mencipta nama dalam arena hiburan domestik.

"Secara domestik, banyak sebenarnya yang saya lalui, Untuk ke hadapan ini, insya-Allah untuk ke hadapan ini, saya cuba secara global, mana tahu ada rezeki. Jadi bersama dengan UMM, ini adalah sebuah langkah berani saya juga sebenarnya.

"Perjalanan saya masih jauh lagi. Tak boleh berada di takuk yang sama dan berasa selesa. Satu daripada keputusan besar yang saya buat dalam karier adalah bersama dengan UMM," katanya.

Ernie juga tidak sewenang-wenang bersetuju menyertai UMM. Sebagai artis yang inginkan kerjayanya terbang lebih tinggi, banyak perkara perlu dia titik beratkan.

Katanya, ia tawaran yang dia tak jangka dan ambil masa agak lama juga untuk bersetuju. Ini kerana ada banyak kerja harus dia laksanakan bersama syarikat rakaman lamanya, Rocketfuel.

"Fikir punya fikir, kebetulan pula kontrak saya habis tahun ini pada bulan Januari sebenarnya. Saya ambil masa beberapa bulan untuk berkata ya, banyak perkara saya pertimbangkan.

"Ini kerana, nak tukar syarikat rakaman ini umpama kita tukar rumah baru. Untuk rumah baru, saya haruslah cari yang selesa, kenal orang-orang bakal bekerja dengan saya.

"Alhamdulillah, perjalanan baharu ini akan menjadi yang terbesar pernah saya buat. Harapnya, saya dan UMM dapat bekerjasama dengan baiklah, capai kesepakatan bagi yang terbaik," katanya.

Antara perbincangan terpenting dibuatnya juga tentulah bersama suami juga penyanyi Syamel. Apatah lagi, mereka pun sebelum ini agak lama bernaung di syarikat rakaman sama.

Justeru, beralih 'rumah' kena ada matlamat dan tujuan yang pasti. Ernie terima saranan suaminya yang menyuruhnya percaya dan turuti apa kata hatinya.

"Kebetulan Syamel pun tukar ke Warner Music. Kami bertukar pendapat dan masing-masing merasakan yang sudah terlalu banyak saya capai bersama Rocketfuel selama lima tahun dengan mereka.

"Saya banyak kenangan indah dengan mereka. Jadi, saya rasa nak cipta memori, momen baharu dalam kerjaya seni saya. Saya terfikir apa lagi agenda seterusnya?

"Apabila duduk (berbincang) dengan pihak UMM, mereka bentangkan pelan, apa yang terbaik untuk karier saya. Syamel kata, ikut kata hatilah. Kalau rasa senang, sambar saja," katanya.

Rancang ke luar negara, lancar album

Kelebihan Ernie bersama UMM sangat jelas tentunya laluan ke pasaran luar jadi lebih mudah. Ini kerana UMM sendiri adalah syarikat rakaman antarabangsa.

Apapun, dia tetap akan berpijak di bumi nyata bahawa tuntasnya segala perlu bermula dari kemampuan hasil kerja dipamerkan dulu. Dia perlu bermula di sekitar negara jiran.

"Mungkin tidaklah terus ke Hollywood, kita keluar ke sekitar Asia Tenggara dulu. Saya ada satu sasaran angan-angan besar kerana UMM berupaya bawa artis mereka ke mana-mana saja.

"Tapi tergantung sendiri kepada saya, sama ada boleh buat atau tidak. UMM punya jaringannya seluruh dunia dan itulah antara alasan saya untuk mencari pengalaman baharu," katanya.

Dalam pada itu, Ernie kini dalam persiapan menyudahkan album penuh yang lama diidamkannya. Dia lega UMM sedia menjadi penggerak agar album itu disegerakan.

"Saya punya impian untuk lancarkan album sebenarnya sejak tahun lalu lagi. Saya ada juga berbincang dengan syarikat rakaman lama. Sama juga bila berjumpa UMM, saya tegaskan nak juga lancar album.

"Mereka pun sambut dengan baik dan disebabkan itu kami putuskan untuk lancarkannya pada November nanti. Sekarang sudah mulakan rakaman dan masih menunggu beberapa lagu.

"Agak bergegas jugalah nak siapkan kerana ada konsep seni kulit album, cenderahati, banyak hal harus saya fikirkan. Setakat ini, semuanya mengujakanlah. Perjalanan yang saya lalui ini semuanya seronok saja," katanya.

Disiarkan pada: July 15, 2023 @ 6:30am
d