utama

Olahragawan Kebangsaan 2022 milik Aaron-Wooi Yik

Oleh Ferzalfie Fauzi & Zulkarnain Azman

Petaling Jaya: Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik seperti dijangka dinobatkan Olahragawan Kebangsaan pada majlis Anugerah Sukan Kebangsaan (ASN) 2022 sekali gus mengulangi pencapaian pasangan legenda, Datuk Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock (1997) dan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong pada (2007).

Mereka mengatasi empat lagi calon lain iaitu dua badang negara, Muhamad Aznil Bidin dan Mohamad Aniq Kasdan; jaguh bina badan, Datuk Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah dan pemain snuker dan biliard, Lim Kok Leong.

Pemilihan Aaron-Wooi Yik yang kini berada di ranking keempat dunia dibuat berdasarkan pencapaian gemilang mereka yang menjadi wakil pertama Malaysia muncul juara Kejohanan Badminton Dunia di Tokyo, Jepun pada Ogos tahun lalu.

Pada final itu mereka menumbangkan pasangan Indonesia yang digelar The Daddies, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan di final 21-19, 21-14.

Bagaimanapun, Aaron-Wooi Yik yang tidak dapat hadir pada majlis penyampaian anugerah kerana menyertai Terbuka Korea yang akan bermula esok.

Menurut Aaron dia menganggap gelaran Olahragawan Kebangsaan menyuntik semangat mereka untuk terus mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.

"Terima kasih kepada semua pihak yang selama ini menyokong kami, KBS (Kementerian Belia dan Sukan), MSN (Majlis Sukan Negara), BAM (Persatuan Badminton Malaysia) terutama presiden Tan Sri Mohamad Norza Zakaria yang sentiasa bersama kami.

"Kejayaan ini akan membuatkan kami untuk terus bekerja keras dan berusaha untuk terus mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa. Kami juga mahu buktikan yang kami boleh hasilkan lebih banyak kejayaan kepada negara," katanya.

Sementara itu, atlet gimrama negara, Ng Joe Ee dinobatkan sebagai Olahragawati Kebangsaan selepas mengetepikan empat pencabarnya termasuklah ratu terjun, Datuk Pandelela Rinong.

Turut berada dalam senarai pencalonan akhir adalah atlet muaythai, Nor Amisha Azrilrizal; atlet petanque, Nur Ain Syuhada Mohd Asri dan seorang lagi wakil sukan terjun, Nur Dhabitah Sabri.

Joe Ee yang berusia 18 tahun cemerlang apabila menghadiahkan dua pingat emas buat kontinjen Malaysia menerusi disiplin bola dan riben di Sukan Komanwel Birmingham 2022.

Bagi gelaran Olahragawan Paralimpik, ia dimenangi pemain badminton para, Cheah Liek Hou manakala Olahragawati Paralimpik disandang perenang para, Carmen Lim.

Majlis anugerah turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah; dan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Disiarkan pada: July 17, 2023 @ 11:19pm
d