utama

Sanusi ditahan polis

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Polis mengesahkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor ditahan, hari ini untuk menghadapi pertuduhan di mahkamah mengikut Akta Hasutan.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, pada 2.30 pagi tadi pasukan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) D5 dan Bahagian Antimaksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman membuat serbuan di Mon't Kiara dan menahan Menteri Besar Kedah itu.

Menurutnya, tiada rampasan dibuat dan pihak peguamnya sedia maklum yang Menteri Besar akan didakwa di mahkamah Selayang pada hari ini.

"Tangkapan dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Gombak untuk tindakan selanjutnya.

"Kertas siasatan dihantar ke Pejabat Peguam Negara pada 10 pagi semalam," katanya.

Beliau berkata, Muhammad Sanusi akan menghadapi dua pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan 1948 [Akta 15] diarahkan kerana perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut dengan menyebut perkataan bagi mendatangkan kebencian atau penghinaan atau bagi membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana Raja (Yang Dipertuan Agong dan Sultan Selangor).

"Kesalahan dilakukan pada 11 Julai lalu jam 11 malam bertempat di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara – Kampung Bendahara, di dalam Daerah Gombak," katanya.

Jika sabit kesalahan, beliau boleh denda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu Harian Metro melaporkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dijangka didakwa di dua Mahkamah Sesyen Selayang, hari ini.

Menerusi semakan sistem dalam talian mahkamah terdapat nama Muhammad Sanusi Md Nor yang akan didakwa di dua mahkamah sesyen berbeza di hadapan Hakim Nor Rajiah Mat Zin dan Osman Affendi Mohd Shalleh.

Pendakwaan terhadap Sanusi ditetapkan untuk didengar pada jam 9 pagi.


TERKINI: Sanusi mengaku tidak bersalah atas tuduhan hasutan


Dalam ucapannya yang tular, pemimpin Pas itu dikatakan menyentuh mengenai perkenan Sultan Selangor, berkaitan pelantikan Menteri Besar Selangor.

Susulan itu, pelbagai pihak membuat laporan polis termasuk yang menyifatkan menghina institusi beraja di Selangor.

Sebelum ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka kertas siasatan terhadap Muhammad Sanusi berhubung kenyataannya yang didakwa menyentuh isu 3R (agama, kaum dan raja), dalam ceramah politiknya baru-baru ini.

Siasatan berkaitan 3R berkenaan, dilakukan di bawah Kanun Keseksaan, Akta Hasutan, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Disiarkan pada: July 18, 2023 @ 7:39am
d