utama

'Plot tangkap saya dirancang enam bulan lalu, saya tahu dah' - Sanusi

Oleh M Hifzuddin Ikhsan

Kuala Ketil: Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa rancangan untuk menangkap dan menjatuhkan kredibilitinya dirancang sejak enam bulan lalu.

Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu berkata, ini berdasarkan maklumat yang diterimanya daripada rakan yang memberi amaran bahawa tindakan akan diambil susulan kritikan terbuka kepada pihak tertentu.

"Plot untuk tangkap saya sudah dirancang sejak enam bulan lalu, saya tahu dah, saya ada 'intelligence' saya, jumpa orang tu pesan jaga-jaga ada orang nak buat (sesuatu) kepada saya.

"Untuk keselamatan saya ada pistol dalam kereta 24 jam, ada dua kelopak, 14 peluru satu kelopak, 24 jam berjaga-jaga takut orang buat jahat, orang tak buat jahat, saya tak buat jahat pada orang.

"Sudah enam bulan kawan-kawan pesan, yang penting tangkap gari saya, jatuhkan moral dan hilang kredibiliti, selepas itu ceramah orang tak dengar lagi kerana saya sudah dimalukan dengan tangkapan," katanya ketika berucap pada Ceramah Gelombang Perikatan Nasional (PN) di Padang Awam Kuala Ketil di sini, malam tadi.

Selasa lalu, Muhammad Sanusi ditahan polis pada jam 3 pagi sebelum didakwa di dua mahkamah berasingan di Selayang, atas pertuduhan menghasut dalam ceramah politik.

Mengulas lanjut, apa yang dikesalkan adalah permintaannya mendapatkan salinan dua kertas pertuduhan terbabit tidak diberikan pihak pendakwa raya selepas selesai proses di mahkamah.

"Saya hormat rakan dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM), jangan salahkan polis kerana mereka jalankan tugas atas arahan atasan sampai ke menteri, mereka terpaksa. Tujuan ditangkap untuk menjatuhkan kredibiliti saya, nak tarik saya jatuh ke tanah.

"Saya didakwa atas dua tuduhan, tetapi kertas pertuduhan tidak diberikan, saya hanya dibacakan dan saya mengaku tak salah, pendakwa raya kata kena beli dalam talian, tapi kemudian kertas pertuduhan jadi viral, tujuan untuk memalukan saya.

"Saya keluar (mahkamah) angkat tangan, terus jahanam habis semua. Malam ini saya isytihar angkat tangan ini lawan (Perdana Menteri) Datuk Seri Anwar Ibrahim, cicak mengkarung jangan datang, kamu bawa Anwar Ibrahim," katanya.

Jelasnya, tindakannya melawan Anwar adalah tidak salah kerana kedua-dua mereka berada dalam bidang politik dan beliau bukan melawan Perdana Menteri.

Disiarkan pada: July 23, 2023 @ 10:48am
d