utama

Datuk, sekutu ditahan dengan wang tunai RM38 juta, emas RM60 juta

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Seorang ahli perniagaan bergelar Datuk dan sekutunya ditahan dengan wang tunai RM38 juta, emas seberat anggaran 200 kilogram bernilai kira-kira RM60 juta serta 17 kereta mewah dalam Op 82S yang diadakan besar-besaran, kelmarin.

Menurut sumber, pasukan Petugas Agensi-Agensi Penguatkuasa Malaysia - Multi Agency Task Force (MATF) yang diketuai oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melancarkan operasi besar-besaran itu sekali gus melumpuhkan satu sindiket rasuah, pecah amanah, penyeludupan barang-barang haram dan pengurangan cukai tidak sah.

"Operasi itu dijalankan dengan kerjasama enam agensi penguatkuasaan lain iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Bank Negara Malaysia (BNM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Siber Sekuriti Malaysia (CSM).

"Operasi yang diberi nama Op 82S adalah kes pertama yang dijalankan di bawah Pasukan Petugas MATF yang dipengerusikan oleh Peguam Negara," katanya.

Sumber berkata, dalam operasi Isnin lalu, serbuan serentak dilakukan di 34 lokasi di Kuala Lumpur dan Selangor dengan membabitkan kekuatan 315 pegawai pelbagai agensi.

"Sehubungan itu, seorang ahli perniagaan bergelar Datuk dan sekutunya telah ditahan dan sejumlah wang tunai anggaran kira-kira RM 38 juta, emas seberat anggaran 200 kilogram bernilai kira-kira RM60 juta serta 17 buah kereta mewah antaranya berjenama Maserati, Ferrari dan Mercedes Benz juga telah disita," katanya.

Ketika dihubungi, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki mengesahkan penahanan terbabit dan kes disiasat mengikut Akta SPRM 2009, Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001, Akta Percukaian 1967 dan Akta Kastam 1967.

Bagaimanapun ahli perniagaan itu sudah dibebaskan dengan jaminan hari ini selepas keterangannya diambil.

Disiarkan pada: July 26, 2023 @ 4:46pm
d