utama

Lebihkan artis kita

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

PERLAKUAN biadap kumpulan muzik dari United Kingdom, The 1975 pada Festival Good Vibes 2023 di Sepang baru-baru ini turut mendapat perhatian penyanyi Amir Jahari.

Baginya, The 1975 satu band yang sangat provokatif dan membawa sesuatu yang tidak elok dalam industri. Ini jugamasanya penganjur membuka peluang kepada artis tempatan untuk beraksi.

"Kita kena ingat negara kita sebenarnya ada banyak lagi band-band yang bagus berbanding artis antarabangsa. Bila kita buka ruang kepada mereka untuk masuk, mereka buat onar di negara kita.

"Bukan sahaja impak kepada industri, tapi juga penganjur. Sekarang penganjur akan buat Festival Atas Angin 2023 dan ia pasti cetuskan banyak persoalan. Pada saya, kita kena limitkan dan ketatkan lagi kemasukan artis luar," katanya.

Amir yang akan beraksi dalam Festival Atas Angin pada 5 Ogos berkata, mungkin sudah masanya penganjur lebihkan festival artis kita berbanding artis luar.

"Kita dapat tengok Indonesia sangat pro kepada artis tempatan. Begitu juga Jepun. Tapi Malaysia, kita kurang sikap patriotik dan bangga yang negara kita sebenarnya ada sesuatu.

"Saya setuju kita galakkan negara kita lebihkan sokong artis tempatan berbanding luar negara. Festival Atas Angin sangat bagus kerana ia bukan lagi berkonsep macam dulu.

"Kita lihat ada banyak show percuma. Jadi sekarang festival yang bertiket sangat membantu untuk bangunkan semula industri. Kita tahu festival ini bagus termasuk untuk buka minda orang awam supaya nampak yang seni ini bukan satu benda yang biasa," katanya.

Menurutnya, Malaysia dan beberapa negara lain semuanya tiada arah tuju muzik yang jelas akibat media sosial.

"Sebabnya pengaruh media sosial buat pemikiran semua orang berkecamuk. Orang tak tahu mereka suka siapa. Kita dah tak dapat berikan satu persembahan seni yang berkonsep kepada mereka.

"Sebab mereka tak suka berfikir dan lebih nak cepat berbanding dulu. Kalau dulu kita ada pop industri dan artis industri di mana kedua-dua sama-sama naik.

"Sekarang ini semua hanya fikir pop industri sahaja dan semua orang nak benda yang cepat. Ini satu benda yang tak elok. Industri seni dah makin jatuh," katanya.

Agak kontra apabila Amir mengakui menjauhi media sosial sekarang berbanding artis lain yang berlumba-lumba menggunakannya.

"Saya nak buang toksid dari pemikiran orang. Semua orang ada kebebasan bersuara, tapi di media sosial ramai yang kehilangan adab dan tatasusila.

"Dah lama saya terfikir benda ini. Sebelum ini saya aktif buat TikTok live. Bila buat live, kebanyakan yang masuk golongan anak muda yang saya rasa mereka anggap saya 'puppet'.

"Sebabnya saya kena dengar cakap mereka. Mereka nak saya menyanyi lagu Hasrat dan saya kenalah menyanyi lagu itu. Kalau tak, mereka tak layan saya. Jadi untuk saya didik atau beri perspektif baharu kepada masyarakat dalam TikTok Live dah tak boleh," katanya.

Untuk itu, penyanyi yang popular menerusi lagu Hasrat ini mengambil pendekatan menjauhi media sosial.

"Saya rasa ada baiknya saya 'off' media sosial. Kadang komen mereka pun tak tentu fasal. Tiada adab dan tatasusila dan saya rasa tak elok. Artis kena rehat, tapi perlu 'team' untuk uruskan media sosial.

"Kalau artis sendiri uruskan kemungkinan untuk dia ada 'mental block' dan 'moral down' sangat tinggi. Benda itu benda yang remeh tapi bila dia sendiri yang 'handle' dia akan anggap benda penting sebab orang seni jiwanya halus.

"Sangat cepat terasa. Saya pernah berhenti menggunakan nama Amir Jahari di media sosial yang digantikan dengan Hamba," katanya.

Usaha itu dianggap berjaya apabila Hamba beri satu impak positif terhadapnya

"Crowdnya berbeza dari Amir Jahari. Apabila ayah meninggal, saya terfikir nak guna semula nama Amir Jahari dengan tujuan untuk tinggalkan legasi yang baik kepada anak muda dan generasi akan datang.

"Saya akan buat album ketiga yang akan keluar tahun depan. Saya bersyukur lagu Hasrat diterima baik masyarakat.

"Saya tak sangka sebab saya minta Nik Amir penerbit Imaginur gunakan untuk filemnya sahaja, tak perlu untuk dikomersialkan.

"Tapi dia yang paksa saya keluarkan. Sehari sebelum filem itu dikeluarkan, saya keluarkan lagu ini. Alhamdulillah sekarang ia dah cecah 7 juta muat turun di Spotify. Ia buat saya rasa industri muzik kita masih ada harapan," katanya.

Amir bersama 74 artis lain akan beraksi di Festival Atas Angin 2023 yang akan berlangsung di Rooftop @ Level 7 Mytown Cheras bermula jam 9 pagi hingga tengah malam.

Disiarkan pada: July 29, 2023 @ 6:00am
d