utama

Bekas pemain Liga Super tak mengaku pecah rumah

Oleh Mohamed Farid Noh

Pontian: Bekas pemain Liga Super Malaysia didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas tiga pertuduhan pecah rumah dan memiliki harta curi, bulan lalu dan awal bulan ini.

Mohd Azinee Taib, 33, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas ketiga-tiga pertuduhan selepas ia dibacakan di hadapan Majistret Nur Azuin Abdul Moati.

Bagi pertuduhan pertama, Mohd Azinee dituduh bersama-sama dua lagi rakan sejenayah yang masih bebas memecah masuk ke sebuah rumah di Taman Benut Utama, Benut, di sini untuk mencuri.

Kesalahan itu dilakukan pada kira-kira jam 12.05 tengah hari pada 8 Jun lalu.

Bagi pertuduhan kedua pula, Mohd Azinee dituduh bersama-sama dua rakannya, Muhammad Hairul Hafiz Muzaren, 24, dan Khairul Akmal Zainol Abidin, 31, telah memecah sebuah rumah di Taman Cendana, Benut, di sini.

Kesalahan itu dilakukan mereka kira-kira jam 1.15 petang pada 3 Julai lalu.

Bagi pertuduhan ketiga pula, Mohd Azinee dituduh menyimpan harta curi membabitkan sebuah telefon bimbit jenama OPPO A5 berwarna putih milik mangsa rumah yang dipecah masuk.

Kesalahan itu dilakukannya di Jeti Nelayan Ayer Baloi, di sini, kira-kira 4.30 petang, pada 3 Julai lalu.

Sementara itu, Muhammad Hairul Hafiz Muzaren, 24, pula turut dituduh menerima harta curi membabitkan sebuah beg hitam, dompet jenama Fossil, beberapa keping wang kertas mata wang Korea, sekeping kad sim dan dua tiket kapal terbang Vietnam Airlines atas nama mangsa rumah yang dipecah masuk.

Kesalahan itu dilakukannya di tepi Jalan Johor Bahru-Batu Pahat-Sanglang di Ayer Baloi di sini, kira-kira jam 1.30 petang pada 3 Julai lalu.

Bagi kesalahan itu, Mohd Azinee dan Muhammad Hairul Hafiz didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Muhammad Hairul Hafiz dan Khairul Akmal turut mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan berkenaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurezzati Zaini, manakala ketiga-tiga tertuduh tidak diwakili peguam.

Nurezzati mencadangkan jaminan RM12,000 dengan seorang penjamin bagaimanapun, Mohd Azinee yang kini bekerja di pasar merayu mahkamah merendahkan jaminan mengambil kira pendapatannya hanya sekitar RM1,000 sebulan selain perlu menanggung lima orang anak, selain ibu dan ayahnya.

Majistret Nur Azzuin memerintahkan kesemua tertuduh dijamin RM5,000 bagi setiap pertuduhan serta menetapkan sebutan kes pada 30 Ogos depan bagi serahan dokumen.

Pada 10 Julai lalu, Mohd Azinee dan dua rakannya itu dilaporkan ditahan polis selepas disyaki terbabit dalam kes pecah rumah sebelum direman bagi siasatan lanjut.

Mengikut rekod, Mohd Azinee memulakan karier profesional sebagai pemain bola pada 2012 dengan mewakili Johor FA, Johor Darul Ta'zim (JDT) II, JDT, Penang FA, Melaka FC dan terakhir, Perak FC pada 2022.

Disiarkan pada: July 30, 2023 @ 1:07pm
d