utama

Cinta Proton Jon

Oleh Lizam Ridzuan

Kuala Lumpur: Sudah 34 tahun berlalu sejak kereta model Proton menembusi pasaran United Kingdom (UK) pada tahun 1987.

Namun siapa menyangka kereta buatan Malaysia itu menjadi kegilaan lelaki warga Britain, Jon Coupland yang kini memiliki koleksi enam kereta Proton pelbagai model.

Difahamkan kereta Proton masih dijual di negara berkenaan sebagai kereta terpakai, sekali gus membolehkan lelaki itu meneruskan hobinya.

Sebagai peminat dunia automotif, Jon sememangnya meminati kereta yang unik dan jarang dijumpai.

"Saya secara tidak sengaja terlihat iklan kereta Proton dalam laman web jual beli kenderaan.

"Tanpa berlengah, saya terus pergi ke pusat jualan kenderaan itu dan membeli kereta Proton Saga 1.5 sebelum membawanya pulang ke rumah.

"Sebaik kereta itu berada di perkarangan rumah, saya memerhatinya agak lama dan menyedari model kereta Proton itu mempunyai keistimewaan tersendiri.

"Malangnya model kereta ini semakin dilupakan di UK. Sejak itu timbul visi saya untuk mengumpulkan semula model kenderaan ini bagi memastikan jenama Proton terus hidup," katanya.

Menurutnya, model pertama kereta dibelinya adalah Proton Saga 1.5 SE LE 1990 Edisi Khas UK yang masih dalam keadaan amat baik dengan jarak perbatuan 48,000 kilometer (km).

"Kereta itu dibeli pada harga £700 (RM4,000) pada tahun 2019.

"Menambah kepada keunikan Proton di UK, ia tidak lagi dijual membabitkan model baharu.

"Kereta model Proton hanya boleh dimiliki menerusi jualan syarikat kereta terpakai. Ini menambahkan lagi elemen keunikannya," katanya ketika dihubungi wartawan Harian Metro.

Menurutnya, dia amat menyukai model awal kereta Proton seperti model Saga dan Iswara yang menampilkan rekaan serta kemasan berbeza berbanding kereta jenama biasa dilihat di Eropah.

"Saya sentiasa memburu model-model Proton di sini dan ia memberikan pengalaman, cabaran dan kisah tersendiri," katanya yang bertugas sebagai anggota polis.

Selain itu Jon memberitahu meminati kereta Proton kerana berpendapat ia mempunyai sudut rekaan yang cantik dan unik berbanding jenama kereta sedan lain.

"Kereta moden ketika ini kelihatan membosankan dan seakan-akan sama dari segi bentuk luaran. Berbeza dengan kereta Proton, ketahanannya amat diyakini," katanya.

Menurutnya, daripada sudut lain, harga kereta Proton juga tidak terlalu tinggi untuk dimiliki.

"Setiap kali saya memandunya, pasti orang ramai akan berpaling dan melihat kereta ini.

"Mungkin kerana jenama ini semakin sukar didapati di UK.

"Meskipun kualiti pembuatan tidak dapat menandingi kereta buatan Jepun dan model sezamannya, namun kereta Proton mempunyai ketahanan yang baik. Malah alat gantinya boleh diberi pada harga berpatutan," katanya.

Menurutnya, model kedua kereta Proton iaitu Saga 1.5GL Black Knight Edition keluaran tahun 1989 menjadi tular selepas ia muncul sebagai pilihan juara bagi segmen kereta pelik dan tidak popular pada Festival of the Unexceptional: A Concours de l'Ordinaire'.

Menyentuh mengenai penyelenggaraan kenderaan Proton, Jon bertuah kerana bapanya adalah seorang mekanik dengan 50 tahun pengalaman berkaitan.

"Dia akan melakukan penyelenggaraan kereta Proton milik saya.

"Malah dia antara mekanik yang mahir bagi model kereta Proton di UK. Semuanya dilakukan demi minat dan tiada bayaran dikenakan.

"Alat ganti kereta Proton masih boleh diperolehi mudah di negara ini.

"Namun komponen kemasan seperti aksesori luaran dan dalaman agak sukar. Berikutan itu saya berusaha mendapatkannya dari kereta yang sudah lupus dan tidak boleh digunakan lagi," katanya yang tinggal di Boston dalam daerah Lincolnshire.

Meskipun tiada kenalan rapat warga Malaysia, namun kandungan dipaparkan di media sosial dan Youtube, menyebabkan ramai rakyat Malaysia yang sering berkongsi pandangan dan pendapat bersamanya.

"Saya amat terharu apabila semua mereka (kenalan di media sosial) bangga dengan produk nasional ini," katanya.

Jon yang tidak pernah mengunjungi Malaysia menyimpan impian untuk melawat Proton City di Tanjong Malim, Perak, kilang dan muzium Proton di Pusat Kecemerlangan Proton (COE) di Subang Jaya, Selangor, serta membawa sebanyak mungkin alat ganti dan aksesori Proton pulang ke UK.

Jon yang memiliki koleksi lapan kereta model Proton Saga dan Iswara tidak mempunyai ruang mencukupi di rumahnya untuk meletakkan semua kenderaan.

"Bukan hanya saya seorang malah ramai yang meminati model kereta Proton ini selepas mereka menonton saluran Youtube saya Jon Coupland. Ramai yang berminat untuk memiliki kereta Proton kerana melihat usaha saya mengekalkan model ini.

"Saya menjualnya kepada pelbagai golongan seperti pengumpul kereta, bekas pekerja Proton, warga Malaysia dan remaja yang mencari kereta pertama," katanya.

Jon berkata, dia mahu mengekalkan enam kereta Proton miliknya kini yang akan dijaga rapi.

Dia turut menjadikan kereta Proton Saga Iswara berwarna putih sebagai kenderaan harian ke tempat kerja manakala model Proton lain digunakan dalam majlis khas atau pameran auto tempatan.

"Saya merancang mengumpul sebanyak mungkin barangan produk gaya hidup Proton selain menyimpan impian mahu membuka Muzium Proton di UK," katanya.

Berdasarkan sejarah, kereta Proton mula menembusi pasaran antarabangsa pada 23 November 1987 apabila Pengerusi Perusahaan Otomobil Nasional ketika ketika itu, Tan Sri Jamil Jan dan Pengerusi Proton Cars (UK) Ltd., David Alan Brown menandatangani perjanjian pengedaran kereta Nasional Proton Saga ke United Kingdom, Eire, The Isle of Man dan The Channel Islands.

Disiarkan pada: August 27, 2023 @ 12:00pm
d