utama

'Rakyat tagih solusi, bukan cari siapa lebih Melayu atau Islam'

Oleh Hafiz Ithnin

Berbaki kurang seminggu lagi, bahang Pilihan Raya Negeri (PRN) di Selangor, Pulau Pinang, Kelantan, Melaka, Kedah, Terengganu dan Negeri Sembilan semakin kuat dirasai.

Dari kedai kopi sehingga ke alam maya rakyat membicarakan soal kredibiliti calon yang bertanding sehingga isu makro negara dikupas satu persatu demi memastikan mereka yang bertanding mampu membawa perubahan besar bukan sekadar di peringkat negeri, malah mampu memberi kesan di peringkat nasional.

Wartawan Harian Metro, HAFIZ ITHNIN mendapatkan Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM), MUJIBU ABD MUIS untuk mengupas pelbagai perspektif dunia politik tempatan menjelang PRN 2023.

Bagaimana tuan melihat peluang PN dan Kerajaan Perpaduan pada PRN kali ini?

Di atas kertas peluang buat Kerajaan Perpaduan PH-BN dan PN masih terbuka di sebalik ramalan awal status quo akan berlaku di enam negeri. Dengan tempoh kempen yang berbaki seminggu, apa saja masih boleh berlaku. Peluang menang sama saja namun yang penting adalah bagaimana setiap parti berusaha mencapai kemenangan dengan dua faktor ini sangat penting sebagai fokus untuk menang iaitu pertama, pengundi akar umbi yang perlu dikerah untuk keluar mengundi dan kedua, memikat pengundi muda yang jumlahnya ramai tapi sukar didekati secara fizikal dan kempen secara maya perlu ditingkatkan bagi memikat mereka.

Apakah isu terbesar dihadapi oleh kedua-dua pihak baik kerajaan mahu pun pembangkang?

Kerajaan terbeban dengan isu Kerajaan Perpaduan itu sendiri terutamanya akar umbi Umno yang dilihat masih tidak selesa bekerjasama dengan DAP dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Presiden Umno. Perkara ini jelas menjejaskan kekuatan akar umbi Umno yang penting dalam menyumbang kemenangan parti ketika PRK dan PRN Melaka dan Johor. Kerajaan juga masih gagal untuk membetulkan persepsi Melayu-Islam sepertimana era PH 1.0 (2018-2020) yang masih terkial-kial menguruskan hal itu.

Walaupun ada beberapa pencapaian yang memberi kesan feel good seperti Inisiatif di bawah Payung Rahmah antaranya bekalan barang mentah seperti ayam, telur dan minyak masak yang kembali stabil. Kadar inflasi menurun, pertumbuhan ekonomi negara meningkat, jumlah pelaburan asing yang bertambah, indeks daya saing antarabangsa negara turut naik, ia masih gagal menterjemah sokongan kepada PH-BN kerana gelombang Melayu-Islam yang digerakkan oleh sentimen kaum agama dan pendekatan populis PN.

PN walaupun mendapat sokongan besar orang Melayu masih tidak dapat menawan undi bukan Melayu. Kelebihan undi Melayu sahaja jelas tidak berupaya membantu mereka mendapatkan majoriti yang diperlukan bagi membentuk Kerajaan Persekutuan selepas Sabah dan Sarawak berkeputusan untuk menyertai PH sebagai Kerajaan Perpaduan.

Walaupun Gerakan menjadi komponen bukan Melayu PN, ia tidak mendapat sokongan dan tenggelam dalam kalangan bukan Melayu terutamanya kaum Cina yang cenderung pilih PH terutamanya DAP.

Kontroversi Pas menghalang Presiden Gerakan daripada berceramah di Pulau Pinang jelas menunjukkan Pas tidak selesa dengan orang Cina dan dilihat semakin ekstrem dan radikal dalam perjuangan politiknya. Ini akan membuka mata bukan saja kepada orang Cina dan dan bukan Melayu, tetapi kelompok Melayu yang liberal dan atas pagar.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sebagai tokoh kontroversi melalui beberapa tindakannya memaki, mencerca dan melakukan sindir badan kepada pihak lawan juga menyumbang kepada penolakan PN di sebalik beliau adalah aset kepada kelompok Melayu.

Namun perbuatannya yang menghina dan merendahkan Institusi Diraja Selangor dilihat terlalu melampau dan menjejaskan peluang PN untuk merampas Selangor.

Pada pandangan tuan, setakat ini apakah pembangkang berjaya membuktikan kelemahan kerajaan atau sebaliknya?

Tidak. dalam konteks PN sebagai pembangkang dan PH kerajaan di Persekutuan, PN hanya menyerang kerajaan dalam isu kaum dan agama dengan menggunakan sentimen Melayu Islam di samping secara retorik dan populis menyerang peribadi pemimpin lawan.

Setakat ini hanya sedikit atau tiada langsung hal terkait dasar, idea, perancangan dan alternatif yang bersifat penyelesaian baik dari sudut ekonomi, kewangan, pembangunan, dasar luar dan sebagainya yang penting dimainkan sebagai pembangkang yang berkesan dimainkan dengan baik oleh mereka.

Sana sini bercakap mengenai pengundi muda. Bagaimana tuan melihat gelombang orang muda ini?

Hal ini faktor paling penting untuk dilihat memandangkan kelompok muda pengundi 18 hingga 39 tahun membentuk 51 peratus daripada 9.7 juta pengundi di enam PRN. Benar setakat ini gelombang sokongan kelompok ini bersama PN. Faktor Pas yang berjaya menawan pemikiran anak muda dengan perancangan dan strategi membiakkan pemikiran sejak dari awal menerusi sistem dan proses terancang membuahkan hasil selepas keghairahan politik atas nama reformasi institusi untuk menurunkan umur mengundi dari 21 ke 18 tahun memakan diri sendiri kepada PH.

Kita tidak boleh menyalahkan anak muda kerana mereka berhak melakukan pilihan.

Pesta demokrasi di Malaysia adalah medan kata mengata, caci mencaci dan membentuk politik persepsi. Apa pandangan tuan?

Menyedihkan. Lebih parah apabila tokoh-tokoh parti yang dikatakan memperjuangkan Melayu-Islam paling banyak melakukan hal ini. Sekali gus memburukkan nama Melayu yang menekankan amalan bersopan santun, lemah-lembut dan hormat menghormati. Lebih parah apabila sebagai mengaku pejuang Islam, tetapi melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan ajaran dan nilai Islam serta akhlak sebagai muslim.

Begitu ironi apabila kita bercakap mengenai politik baharu yang matang dan sejahtera, orang politik pula bertindak sebaliknya dengan menjadikan politik baharu Malaysia sebagai ganyang dan huru-hara.

Di media sosial khasnya, rakyat sering berbincang secara terbuka mengenai isu kos sara hidup dan kelembaban ekonomi. Bagaimana tuan melihat isu ini?

Memandangkan kedua-dua isu ini seperti 'warisan' yang tidak dapat diselesaikan.

Ini yang sepatutnya berlaku. Persaingan politik atas platform siapa yang lebih bagus, bernas dan praktikal dalam memberikan idea, pandangan dan perancangan dalam hal-hal dasar dan polisi yang mensejahterakan negara.

Rakyat menagih solusi dan tindakan, bukannya mahu cari siapa lebih Melayu atau Islam. Rakyat mahu tahu apa perancangan kerajaan dalam menyelesaikan hal-hal ekonomi dan kos sara hidup dan bila kerajaan perkenal dasar seperti pendekatan payung rahmah, rakyat harap pembangkang akan menyaingi idea tadi dengan lebih kreatif setara atau jauh lebih baik daripada yang dilakukan kerajaan.

Isunya bukan kena ada manifesto atau tidak kerana hal sebegini perlu menjadi lumrah dalam perjalanan demokrasi, barulah negara akan mencapai banyak kemajuan dan rakyat lebih sejahtera. Namun nampaknya di Malaysia ia menjadi sebaliknya dan makin menjurus ke arah yang berlawanan.

Isu 'menembak' soal peribadi pihak lawan sering kali menjadi senjata dalam peperangan antara ahli politik. Boleh ulas?

'Tidak'. Orang politik jelas oportunis seperti lazimnya, istilah matang dan budiman tiada dalam kamus tanpa mengira ideologi dan kecenderungan mereka. Justeru, lebih terarah untuk melihat unsur pembunuhan karektor, budaya caci maki, bermain sentimen kaum, menunggang agama dalam amalan berpolitik.

Dalam masa yang sama budaya politik kita masih kuat menjunjung nilai feudalisme dan pemikiran konservatif yang diburukkan pula dengan gelagat pengundi yang pasif, parokial dan taasub membuta tuli.

Disiarkan pada: August 6, 2023 @ 7:01am
d