utama

Hidayah Sugasini milik ibu juga

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

Kuala Lumpur: Keindahan dua kalimah syahadah dilafaz anak perempuannya mendorong seorang wanita memeluk Islam dan bersama-sama mendalami agama syumul itu.

Wanita yang memilih nama Nurul Hidayah Kerashnan berusia 53 tahun itu mengucap lafaz suci lima minit selepas menyaksikan pengislaman anaknya, Nur Shazrin Aisyah Abdullah, 20.

Sebelum itu, dia berkunjung ke Ibu Pejabat Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Kebangsaan di Jalan Sultan Azlan Shah, di sini untuk menemani Nur Shazrin.

Kisah dua beranak itu tular selepas video mereka dikongsi di Facebook (FB) dan TikTok Perkim Kebangsaan serta turut menerima ribuan komen positif serta sokongan orang ramai.

Berdasarkan kenyataan di FB Perkim Kebangsaan, dua beranak itu sanggup berjalan dua kilometer (km) dari rumah mereka di Titiwangsa ke Ibu Pejabat Perkim demi Nur Shazrin Aisyah memeluk Islam.

Gadis itu melafazkan syahadah di hadapan Pegawai Unit Pembangunan Insan dan Operasi Perkim, Ustaz Sulaiman Ding Yu Zhong dan disaksikan ibu kandungnya.

"Ketika Shazrin atau nama asalnya Sugasini melengkapkan butir pengislaman, lima minit kemudian, ibunya menyatakan hasrat mengikuti jejak anaknya memeluk Islam.

"Selepas mengikrarkan dua kalimah syahadah dalam bahasa Arab diikuti dalam bahasa Inggeris, ibu Shazrin memilih nama Nurul Hidayah Kerashnan kerana Allah SWT sudah memberi hidayah menjadi seorang Islam," katanya.

Berdasarkan perkongsian itu, Nurul Hidayah memaklumkan sudah biasa menyesuaikan diri dalam kehidupan seorang Muslim kerana tiga anaknya sudah memeluk Islam sebelum ini, sekali gus keluarga mereka mempraktikkan aspek halal haram dalam Islam.

"Saya mula kenal Islam ketika berusia 12 tahun selepas berpindah ke sebuah sekolah yang mana ketika itu hanya saya pelajar bukan Islam," katanya.

Dia juga pernah mengikuti ceramah di surau sekolah tanpa paksaan dan mengakui menerima hidayah ketika berusia 18 tahun selepas bermimpi seorang wanita memberi salam.

"Saya dapat hidayah (ketika itu) tidur, macam mamai terjaga. Tiba-tiba macam dapat mimpi ada seorang perempuan (berpakaian) putih ketuk pintu, dia bagi salam," katanya.

Shazrin juga terkejut apabila ibunya meluah hasrat memeluk Islam kerana tidak menyangka wanita itu mahu menukar agama.

Disiarkan pada: August 11, 2023 @ 7:01am
d