utama

Sampai hati 'madukan' saya - suami

Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim

Tanah Merah: Seorang wanita didakwa 'memadukan' suaminya selepas perkahwinan keduanya di Terengganu, April lalu diketahui suami pertama.

Peniaga, Rahaman Mohamed Jaafar, 47, mendedahkan dia berkahwin dengan wanita berusia 32 tahun itu pada Januari 2019 di Narathiwat, Thailand, sebelum isterinya menghilangkan diri selepas keluar dari rumah, Januari lalu.

Menurutnya, perkahwinan mereka sah mengikut hukum syarak oleh Mahkamah Rendah Syariah Tanah Merah pada 6 Jun lalu dan didaftarkan di Pejabat Agama Jajahan Tanah Merah.

"Bagaimanapun selepas kehilangan isteri Januari lalu, saya mendapat tahu di media sosial pada April lalu bahawa dia berkahwin dan perkara itu agak mengejutkan kerana saya tidak pernah menceraikannya... kami masih suami isteri.

"Selepas saya membuat semakan, saya dapati isteri ada membuat permohonan untuk berkahwin dengan lelaki lain yang berusia 42 tahun di Pejabat Agama Besut, Terengganu pada April lalu.

"Dia dipercayai menggunakan surat cerai dengan suami terdahulu iaitu sebelum berkahwin dengan saya," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Rahaman berkata, susulan mengetahui dia 'dimadukan' isteri, dia memfailkan tuntutan faraq nikah di antara isterinya dengan suami kedua.

"Susulan itu, Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu pada Ogos lalu membuat keputusan memerintahkan isteri saya selaku defendan pertama dan suami keduanya yang juga defendan kedua difaraqkan sementara.

"Mereka tidak dibenarkan tinggal bersama sebagai suami isteri sehingga kes kami selesai dibicarakan," katanya.

Terdahulu, Rahaman hadir di Mahkamah Rendah Syariah Tanah Merah, di sini, hari ini untuk prosiding keputusan lafaz cerai talak tiga yang difailkan isterinya.

Hakim, Ahmad Hariri Mohd Saat kemudiannya memberikan tempoh 14 hari kepada Rahaman untuk membuat sumpah laknat bagi menafikan dakwaan isterinya.

Rahaman yang diwakili peguam, Marzuqi Muhamad menegaskan, dia tidak pernah membuat lafaz cerai terhadap isterinya sebagaimana yang didakwa dan sehingga kini mereka masih suami isteri.

"Saya sangat kecewa dengan tindakan isteri. Empat tahun kami berkahwin, baru beberapa bulan saya mendapat sijil nikah, namun akhirnya saya 'dimadukan'.

"Saya percaya pejabat agama mengeluarkan kebenaran berkahwin terhadap isteri saya dengan suami keduanya kerana perkahwinan kami di luar negara dalam proses pengesahan di sini," katanya.

Disiarkan pada: September 13, 2023 @ 12:51pm
d