utama

Wajah sugul bongkar sengsara

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Wajah sugul seorang pembantu rumah warga Indonesia berdiri di pintu jeriji sebuah unit kondominium di Kepong, di sini, membongkar kesengsaraan dirinya apabila mendakwa menjadi mangsa pukul dan rogol oleh majikannya.

Dalam kejadian jam 3 petang Jumaat lalu, wanita berusia 29 tahun itu dilihat berada di pintu rumah selama 15 minit sambil memerhatikan pekerja sebuah syarikat logistik memindah masuk barang di rumah jirannya.

Wanita itu kemudian memberanikan diri meminta bantuan daripada pekerja terbabit untuk membantu menyelamatkannya dengan menghubungi pihak berkuasa.

Menceritakan semula kejadian, penghantar barangan terbabit yang mahu dikenali sebagai Hafis (bukan nama sebenar), 33, berkata, dia ketika itu sedang memindahkan barangan milik penghuni yang berpindah masuk ke unit kondominium berkenaan.

Menurutnya, sebelum itu dia menyedari wanita terbabit hanya berdiri di depan pintu rumahnya dan melihat mereka memindahkan barangan.

"Tidak lama kemudian, wanita terbabit memanggil saya dan merayu-rayu supaya menyelamatkan dia dengan meminta untuk menghubungi polis.

"Dia memberitahu saya bahawa majikannya memukulnya dengan batang besi dan turut mengambil kesempatan ke atas dirinya," katanya kepada Harian Metro.

Hafis berkata, wanita terbabit juga menunjukkan kesan lebam di badannya akibat dipukul majikannya.

"Simpati dengan nasibnya, saya kemudian menghubungi polis dan meninggalkan nombor telefon saya kepada wanita itu. Polis kemudian meminta saya datang ke balai untuk membuat laporan," katanya.

Susulan laporan polis dibuat lelaki itu, polis yang menerima maklumat kemudian menyerbu rumah terbabit dan menyelamatkan mangsa.

Menurut sumber, mangsa dipercayai menjadi mangsa rogol majikannya sekitar Ogos lalu, namun sedang menjalani pemeriksaan lanjut.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Bukit Aman, Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan mengesahkan kejadian berkata, siasatan berkenaan dibuat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Menurutnya, sepasukan polis yang menyerbu rumah berkenaan turut menahan suspek bagi membantu siasatan.

Disiarkan pada: September 27, 2023 @ 12:00pm
d