utama

Jururawat maut ditikam suami

Oleh BERNAMA

Arau: Polis menahan seorang lelaki yang disyaki menikam mati isterinya dengan sebilah pisau di kediaman pasangan itu di Jalan Padang Nyu, di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Arau Superintendan Ahmad Mohsin Md Rodi berkata, mayat wanita itu ditemukan di bilik tidur kediaman berkenaan dalam keadaan berlumuran darah dan ditutupi dengan selimut tebal, selepas suspek tampil menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis pada kira-kira 10 pagi.

Beliau berkata, wanita berusia 31 tahun yang bekerja sebagai jururawat itu dipercayai ditikam dengan sebilah pisau pada bahagian dada kiri dalam kejadian kira-kira 6 pagi, dengan tikaman sedalam kira-kira dua sentimeter dikesan pada dirinya.

"Suspek yang juga seorang pesara tentera berusia 38 tahun dipercayai bergaduh dengan isterinya akibat cemburu," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian di sini hari ini.

Ahmad Mohsin berkata, polis turut menemukan sebilah pisau yang disimpan dalam sebuah beg di dapur rumah itu yang dipercayai digunakan dalam kejadian, dan siasatan awal mendapati suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

Beliau berkata, mayat wanita itu dihantar ke Hospital Tuanku Fauziah, Kangar sebelum dipindahkan ke Hospital Sultanah Bahiyah Hospital, Alor Setar untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Katanya, pasangan itu meninggalkan dua anak lelaki, masing-masing berusia lapan dan 10 tahun.

Disiarkan pada: September 30, 2023 @ 4:48pm
d