utama

'Saya terkejut dapat berita kematiannya, kami patut berjumpa semalam'

Oleh Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: "Kali terakhir saya berbual dengan arwah melalui telefon semalam dan perangainya tidak seperti selalu, malah tidak ceria. Nada suaranya juga agak sedih," kata Rosima Dollah, 31.

Rosima adalah rakan baik jururawat, Munirah Abu Bakar, 31, yang maut akibat ditikam suaminya di rumah di Jalan Padang Nyu, Arau, Perlis, hari ini.

Menurutnya, mereka sepatutnya bertemu semalam tetapi tidak sempat disebabkan arwah bekerja dan hanya berbual melalui telefon.

"Saya dapat rasakan sesuatu kerana arwah tak banyak cakap, tidak macam sebelum ini.

"Saya juga nak jumpa dengan arwah, tetapi dia kata sibuk kerana kerja. Pagi tadi saya terkejut mendapat berita kematiannya," katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, hari ini.

Rosima berkata, sebelum ini dia hanya mendengar sahaja mengenai kes pembunuhan oleh suami, namun tidak menyangka ia akan menimpa rakan baik dikenali selama 18 tahun.

"Selalu saya baca kes orang lain tapi ini babitkan kawan sendiri dan saya tahu mengenai kes ini melalui rakannya di bilik bedah di hospital sama.

"Saya terus ke rumah dia (mangsa) untuk melihat apa yang berlaku," katanya yang berkawan baik dengan mangsa sejak Tingkatan Satu di Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Puan Muda Tengku Fauziah, Kangar.

Wanita itu juga mengingati arwah yang dipanggil Angah sebagai seorang yang lemah lembut dan baik, malah sering menasihatkan dirinya.

Disiarkan pada: September 30, 2023 @ 9:00pm
d