utama

Kes selesai, empat hilang sudah pulang

Oleh Mohamad Fahd Rahmat

Kluang: "Alhamdulillah ibu mentua, adik ipar lelaki dan dua anak saya telah selamat dijumpai," kata pemilik akaun Facebook bernama Ah Pek yang dipercayai waris sebuah keluarga yang dikhuatiri hilang selepas gagal dihubungi sewaktu bercuti di Pulau Perhentian hujung minggu lalu.

Dalam hantaran dimuat naik kira-kira 3 petang tadi, Ah Pek berkata, dia mengucapkan penghargaan kepada pihak berkuasa dan orang ramai sehingga berjaya menjejaki keluarganya itu.

"Terima kasih pada semua rakan, pihak polis dan semua yang terlibat membantu kes ini sehingga selesai.

"Sekarang saya masih dalam perjalanan dari Terengganu menuju pulang ke Kluang untuk tarik laporan (polis).

"Yang bahawasanya kes sudah selesai. Tanpa bantuan anda siapalah saya. Sekali lagi ucapan ribuan terima kasih bagi semua yang membantu, mendoakan, menyampaikan.

"Semoga tuhan membalas jasa baik dan niat murni tuan-tuan semua. Alhamdulillah syukur," katanya.

Terdahulu, media melaporkan empat sekeluarga iaitu seorang wanita, anak lelaki dan dua cucunya dikhuatiri hilang kerana gagal dihubungi selepas bercuti di Pulau Perhentian di sini hujung minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad, berkata wanita itu dikenali sebagai Suraidah Abdul Ghani, 52, dari Kluang, Johor dan ahli keluarga dikesan keluar dari pulau peranginan itu.

Katanya, ahli keluarga tidak dapat menghubungi wanita itu bersama anaknya, Mohamad Aiman Mohd Rafee, 21 serta dua cucunya, Sasa Alesha, 7, dan Ahmad Dhani Mohd Saiful, 4, sejak Sabtu lalu.

Sementara itu, seorang pemilik restoran di daerah ini yakin remaja lelaki yang datang bersama keluarganya untuk menjamu selera kira-kira 1 tengah hari tadi adalah individu dilaporkan hilang.

Sulastri Kasiman, 40, berkata, dia yakin kerana remaja lelaki itu satu-satunya pelanggan yang memiliki rambut 'terang' dalam beratus pelanggannya hari ini.

Katanya, remaja berkenaan memakai baju T berwarna kuning cair dan mempunyai fizikal yang kurus dan tinggi.

"Ketika dia bertanya saya di mana hendak mengambil air minuman saya hanya menunjuk ke arah kaunter air. Dalam masa sama hati saya mengatakan 'terangnya' warna rambut adik ini.

"Dalam masa sama ada pelanggan lain di hadapan kaunter pembayaran mengambil gambar keluarga itu dari jauh. Saya hairan kenapa mereka berbuat demikian tetapi berfikir mungkin itu adalah rakan mereka," katanya.

Sulastri berkata, dia hanya menyedari keluarga berkenaan adalah keluarga yang dilaporkan hilang selepas dimaklumkan pelanggannya.

"Mula-mula saya tak pasti tetapi setelah ditunjukkan gambar dan video keluarga lelaki itu, saya yakin remaja berambut perang itu adalah salah seorang yang dilaporkan hilang itu," katanya.

Dalam pada itu, tular gambar memaparkan sebuah Proton Saga berwarna biru cair bernombor plat JRW 6380 yang diparkir di tepi restoran berkenaan sejak tengah hari tadi.

Turut tular gambar memaparkan seorang wanita, remaja lelaki dan dua kanak-kanak yang sedang menjamu selera di restoran berkenaan.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, tidak menerima laporan berhubung kehilangan itu namun laporannya sudah dibuat di Terengganu.

Disiarkan pada: October 3, 2023 @ 4:13pm
d