utama

Graduan UM didenda RM5,000 kerana protes ketika konvokesyen

Oleh Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Graduan Universiti Malaya (UM) didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini berhubung protes terhadap bekas naib canselor yang dilakukannya pada majlis konvokesyen, empat tahun lalu.

Majistret Illi Marisqa Khalizan menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Wong Yan Ke, 27, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan itu.

Sekiranya tertuduh gagal membayar denda itu dia boleh dipenjara selama tiga bulan dan tertuduh membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, Wong yang masih bujang didapati dengan sengaja mengaib dan mendatangkan marah kepada Naib Canselor UM Datuk Ir (Dr) Abdul Rahim Hashim (ketika kejadian) dan tetamu dalam Istiadat Konvokesyen ke-59 di Dewan Tunku Canselor, UM pada jam 10 pagi, 14 Oktober 2019.

Kebangkitan marah itu akan menyebabkan keamanan awam mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan yang membawa kepada hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Disiarkan pada: October 9, 2023 @ 11:18am
d