utama

Lelaki sebar video beli beras plastik mengaku buat dakwaan palsu, mohon maaf

Oleh Izwan Abdullah

Kota Kinabalu: Seorang lelaki yang menyebarkan video berhubung dakwaan membeli beras plastik di Sandakan, baru-baru ini, hari ini tampil mengakui membuat dakwaan palsu dan memohon maaf.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Chan Foong Hin menerusi catatan di laman Facebook rasminya, hari ini.

Beliau berkata, lelaki terbabit datang ke pejabat syarikat pemborong beras yang didakwa menjual beras plastik terbabit dan mengakui dakwaan berkenaan tidak benar.

"Susulan siasatan dakwaan beras plastik dilakukan semalam, saya difahamkan seorang individu yang dipercayai adalah perakam video tular berkenaan menampilkan diri ke Syarikat Sazarice Sdn Bhd di Sandakan pada pagi ini.

"Saya dimaklumkan bahawa individu itu mengakui bahawa dakwaan beras plastik adalah tidak berasas dan jenama beras yang dituduh sebenarnya adalah beras tulen.

"Saya juga menonton sebuah video yang mana individu itu memohon maaf kepada Syarikat Sazarice dan pihak yang terjejas," katanya.

Katanya, syarikat berkenaan menerima permohonan maaf individu terbabit dan memberi amaran supaya tidak mengulangi perbuatan berkenaan atau menyebarkan dakwaan tidak berasas yang boleh menimbulkan kegusaran orang awam.

Foong Hin turut mengingatkan semua pihak supaya tidak menyebarkan sebarang maklumat palsu.

Dalam kenyataannya semalam, Foong Hin, berkata kementeriannya memandang serius dakwaan beras plastik itu dan mengarahkan Kawal Selia Padi Dan Beras (KPB) melakukan siasatan lapangan.

Disiarkan pada: October 10, 2023 @ 8:07pm
d