utama

Tiga sahabat dilepas, dibebaskan kerana tidak dapat perbicaraan adil

Oleh Suraya Roslan

Putrajaya: Tiga sahabat yang sepatutnya ke tali gantung dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Persekutuan, di sini, hari ini atas kesalahan membunuh seorang lelaki yang mayatnya sehingga kini tidak dijumpai, tujuh tahun lalu.

Panel tiga hakim diketuai Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang bersidang bersama-sama Hakim Besar Malaya Tan Sri Mohamad Zabidin Mohd Diah dan Datuk Abu Bakar Jais sebulat suara membenarkan rayuan ketiga-tiga perayu iaitu Mohd Zulhiami Md Darus, 37, Siti Nor Asiah Abdul Wahab, 32, dan Muhammad Rahmat Nazarudin, 29, untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam dan Mahkamah Rayuan yang sebelum ini mensabitkan hukuman mati atas pertuduhan itu.

"Perayu-perayu menimbulkan beberapa isu dan kami mendapati isu utama adalah sama ada perayu dinafikan hak akan satu perbicaraan yang adil.

"Setelah mendengar hujah perayu dan pendakwa raya, dan meneliti alasan kehakiman serta rekod rayuan, kami berpuas hati keseluruhan perbicaraan berlangsung dalam cara yang tidak menepati undang-undang.

"Hal ini memprejudiskan perayu-perayu mengakibatkan sabitan tidak selamat, dengan itu kami membenarkan ketiga-tiga rayuan untuk dilepas dan dibebaskan," kata Tengku Maimun dalam penghakiman ringkasnya.

Sebaik mendengar keputusan itu, Mohd Zulhiami dan Muhammad Rahmat dilihat berpelukan di kandang tertuduh, manakala Siti Nor Asiah yang terkejut turut mengalirkan air mata.

Ketiga-tiga mereka sudah dipenjara selama tujuh tahun sejak 2016.

Tiga sahabat itu merayu keputusan Mahkamah Rayuan pada 14 April 2022 yang mengesahkan sabitan dan hukuman gantung yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 24 Oktober 2019.

Pada asalnya, Mohd Zulhiami dan Siti Nor Asiah didakwa bersubahat bersama Muhammad Rahmat membunuh Mohammad Fairul Haqiemie, 21, (ketika kejadian) antara 12.30 tengah malam dan 1 pagi pada 29 Ogos 2016 di sebuah pangsapuri di Jalan Dato Yusof Shahbudin 3, Taman Sentosa, Klang.

Muhammad Rahmat turut didakwa membunuh Mohammad Fairul Haqiemie pada 4 pagi di lokasi dan hari sama.

Bagaimanapun, Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Abdul Halim Aman meminda pertuduhan pada akhir kes pendakwaan iaitu masa dan tarikh kejadian pada 4 pagi, 30 Ogos 2016 manakala tempat kejadian masih sama.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Si mati dalam kejadian bunuh itu adalah teman lelaki baharu kepada Siti Nor Asiah, manakala saksi pendakwaan ketujuh (SP7), Zairul Noraidi Shahidin adalah bekas teman lelaki wanita berkenaan.

Peguam Datuk Geethan Ram Vincent mewakili Siti Nor Asiah, Kitson Foong mewakili Mohd Zulhiami manakala Fahri Azzat mewakili Muhammad Rahmat.

Sementara, Timbalan Pendakwa Raya Parvin Hameedah Mohd Khaja dan Aida Khairuleen Azli mewakili pihak responden.

Terdahulu, pasukan pembelaan menghujahkan hakim bicara (Mahkamah Tinggi) meminda butiran pertuduhan tanpa memaklumkan kepada peguam mahupun ketiga-tiga tertuduh menyebabkan tiga sahabat itu membela diri terhadap pertuduhan asal.

Kitson berkata, pindaan itu hanya disedari oleh pihak pembelaan selepas meneliti rekod rayuan di peringkat Mahkamah Rayuan.

"Hakim bicara sepatutnya memaklumkan bahawa butiran pertuduhan diubah dan anak guam membela diri terhadap pertuduhan pindaan, namun perkara itu tidak dilakukan.

"Kegagalan hakim bicara memaklumkan pindaan itu menafikan hak anak guam kami mendapat perbicaraan yang adil atau mengemukakan pembelaan alibi ketika membela diri," katanya.

Sementara itu, Geethan Ram dan Fahri berhujah, kedua-dua mahkamah terdahulu gagal menimbang keterangan SP7 yang disifatkan oleh pihak pembelaan sebagai rakan sejenayah kepada ketiga-tiga perayu.

Hujah peguam, SP7 iaitu saksi mata dan saksi pendakwaan utama yang menjadi individu terakhir dilihat bersama-sama mangsa, dia adalah individu yang tidak boleh dipercayai dan keterangan lelaki itu tidak sepatutnya diterima oleh mahkamah.

Peguam itu juga berhujah bahawa hakim bicara terkhilaf dari segi fakta dan undang-undang apabila gagal mempertimbangkan bahawa Zarul adalah rakan sejenayah.

"Saksi pendakwaan ketujuh adalah rakan sejenayah kerana dalam keterangannya menyatakan bahawa kejadian itu berlaku di rumahnya dan dia membantu menggulung mayat si mati dengan tilam dan membuangnya ke dalam sungai," katanya.

Pada perbicaraan lalu, Zairul Noraidi ketika memberi keterangan jelas menyatakan dia nampak tertuduh ketiga (Muhammad Rahmat) memukul kuat kepala si mati dengan kayu sebanyak tiga kali hingga menyebabkan kayu berkenaan patah.

Dalam keterangannya, SP7 turut menyatakan dia melihat mangsa rebah menggelupur dan nampak darah di lantai serta dinding akibat pukulan itu.

Keterangan SP7 turut menyatakan, dia melihat Siti Nor Asiah dan Muhammad Rahmat berbincang, malah Siti Nor Asiah mencadangkan mayat dibungkus dengan tilam seterusnya dibuang ke dalam sungai.

Muhammad Rahmat memberitahu saksi, dia memukul si mati atas upah duit yang ditawarkan Siti Nor Asiah.

Disiarkan pada: October 26, 2023 @ 4:49pm
d