utama

Lauk babi hina industri nasi kandar - PRESMA

Oleh Sudirman Mohd Tahir

Kuala Lumpur: Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA) kesal dengan hantaran klip video yang mempromosi nasi kandar dengan hidangan babi yang tular di media sosial.

Presidennya, Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata, tindakan itu dianggap bentuk penghinaan kepada industri nasi kandar di Malaysia yang diketahui dipelopori pengusaha restoran Muslim sejak puluhan tahun lalu.

Menurutnya, video itu juga boleh menimbulkan kekeliruan orang ramai terutama pelanggan dan penggemar nasi kandar.

"PRESMA beranggapan ia akan menimbulkan kekeliruan kepada pelanggan serta penggemar nasi kandar di negara ini sekaligus memberikan gambaran negatif kepada menu kesukaan ramai ini.

"Justeru, PRESMA ingin menegaskan, hidangan nasi kandar di semua premis milik ahli PRESMA di seluruh negara dijamin halal dan bebas daripada bahan dilarang di dalam Islam," katanya dalam satu kenyataan.

Dalam masa sama, PRESMA menasihatkan kepada semua pencipta kandungan supaya lebih sensitif dengan hasil kreatif yang dihasilkan.

"Kepada mana-mana pencipta kandungan perlu lebih sensitif dan perlu mengambil kira soal makanan yang selama ini dikaitkan dengan orang Islam," katanya.

Video yang dimuatnaik itu sudah mencecah lebih 200,000 tontonan dan lebih 5,000 tanda suka.

Sementara itu, terdapat pengguna media sosial lain turut memuat naik video sama dengan menulis keterangan meminta orang Islam berhati-hati.

Disiarkan pada: October 30, 2023 @ 10:34am
d