utama

Tuah Harry Styles!

Oleh Norzamira Che Noh

Shah Alam: Rekaan menggunakan sisa fabrik jenis denim dan selimut 'comforter' membawa tuah kepada Muhamad Hilmi Idris apabila dipilih menjadi juara Waste is Amazing 2023 anjuran Alam Flora Sdn Bhd (Alam Flora).

Muhamad Hilmi, 26, tidak menyangka penyertaan sulungnya dengan rekaan The Reflection of Harry Styles yang diinspirasikan gaya fesyen vokalis terkenal Britain itu terpilih sebagai juara berikutan rekaan peserta lain juga sangat menarik serta kreatif.

"Mengenai konsep rekaan, apabila saya mendapat tahu tema pertandingan ini adalah Met Gala, apa yang terlintas pada fikiran saya adalah vokalis Harry Styles yang sebelum ini adalah ahli sebuah kumpulan (boy band) dan ketika itu fesyen pakaian dia adalah biasa.

"Sehingga pada tahun 2017, baru penyanyi itu mula bereksperimen dengan fesyen sendiri sehingga menarik banyak jenama besar untuk bekerjasama dengannya.

"Justeru, saya mengambil inspirasi gaya fesyen beliau dalam rekaan saya pada pertandingan ini dan mengambil masa tiga minggu untuk menyiapkannya," katanya ketika ditemui selepas Waste is Amazing 2023 di Galeri Seni Tuanku Nur Zahirah (GESTURZ) di Universiti Teknologi Mara (UiTM), dekat sini.

Beliau berkata, rekaannya menggunakan sekitar 10 kilogram sisa fabrik daripada denim dan selimut yang dikumpul ketika membuat satu projek lain bersama rakan sebelum ini.

Katanya, kos yang dikeluarkan dalam menyiapkan rekaan berkenaan adalah kira-kira RM50 untuk pembelian cat serta aksesori tambahan.

"Dengan rekaan ini, kita sudah memberikan nafas baru kepada 10 kilogram sisa kain daripada terbuang ke tempat pelupusan sampah," katanya yang juga alumni UiTM dalam Rekaan Fesyen.

Pada pertandingan dengan tema Met Gala: Rekaan Hollywood Romantik & Glamor itu, Muhamad Hilmi membawa pulang RM3,000 berserta trofi, mahkota, selempang dan sijil penyertaan; tempat kedua dimenangi Attiya Balqist Asha'ari dengan rekaan The Sweet Blossom yang membawa pulang RM2,000 manakala tempat ketiga dimenangi oleh Siti Nabilah Mohd Roslide dengan rekaannya, Amazing Beauty of Allium Cepa membawa pulang RM1,000.

Turut dipertandingkan adalah kategori Best Social Media dimenangi Zainab Majid dengan The Nature of Lavender dan Best Model Category dimenangi The Sweet Blossom (Attiya Balqist Asha'ari) yang masing-masing membawa pulang RM300.

Waste is Amazing 2023 adalah satu inisiatif perintis yang direka untuk mempromosikan kelestarian dan kesedaran alam sekitar yang mana acara unik ini sudah mencapai kejayaan yang ketara dalam memperjuangkan amalan lestari sepanjang satu dekad yang lalu.

Inisiatif ini terkenal dengan pendekatan inovatifnya terhadap kelestarian khususnya melalui pertandingan reka bentuk fesyen yang memerlukan peserta untuk mencipta fesyen unik menggunakan bahan bukan konvensional seperti pakaian terpakai, surat khabar, beg plastik, penutup botol plastik dan penutup tin aluminium.

Pada tahun ke-10, acara ini menyaksikan penyertaan memberangsangkan dengan 100 pereka mengambil bahagian termasuk pelajar dari institusi pengajian tinggi.

Seramai 10 pereka dipilih untuk mempamerkan ciptaan mereka dalam pertunjukan fesyen secara langsung di GESTURZ, UiTM Shah Alam.

Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora Datuk Mohd Zain Hassan berkata, tema tahun ini sejajar dengan matlamat Alam Flora yang lebih luas untuk mempromosikan tiga R - Reduce, Reuse and Recycle.

"Kelestarian di Alam Flora bukan sekadar plastik kitar semula. Kami sentiasa berusaha untuk meningkatkan prestasi pengurusan sisa kami semasa perkhidmatan operasi kami.

"Aspek unik acara Waste is Amazing 2023 ialah kerjasama antara Alam Flora dan UiTM bertujuan untuk memupuk kesedaran kitar semula dalam kalangan belia, yang memainkan peranan penting dalam membentuk masa depan yang lebih mampan," katanya.

Disiarkan pada: October 31, 2023 @ 7:05am
d