utama

Lelaki Nepal gagal larikan kanak-kanak perempuan

Oleh Zuliaty Zulkiffli

Sungai Petani: Lelaki warga Nepal yang cuba melarikan kanak-kanak perempuan di hadapan kedai di Pekan Jeniang, Gurun, di sini ditahan orang awam sebelum diserahkan kepada polis.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, anggota Pondok Polis Jeniang, Gurun menerima panggilan daripada orang awam, 7.20 pagi tadi.

Beliau berkata, suspek cuba melarikan kanak-kanak perempuan, 3, di Taman Seri Emas.

"Siasatan awal mendapati, kejadian berlaku di tepi jalan, di hadapan kedai roti canai itu yang mana motosikal bapa mangsa diletakkan di tepi jalan untuk pergi membayar dan mengambil tempahan roti canai yang dibuat.

"Menurut bapa mangsa, anak perempuannya itu ditinggalkan dalam keadaan duduk di bahagian hadapan motosikal (kaki di dalam raga) bersendirian dengan jarak motosikal tidak jauh dari kedai makan itu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zaidy berkata, berdasarkan keterangan saksi, suspek kemudian meluru ke arah mangsa dan mendukungnya sebelum mengundur beberapa langkah sambil mengacukan pisau ke arah leher kanak-kanak terbabit.

Beliau berkata, suspek turut bercakap dalam bahasa tidak difahami seperti meminta wang untuk makan kepada bapa mangsa yg berada di hadapan suspek ketika itu.

"Bapa mangsa yang ketika itu panik cuba menenangkan mangsa sambil memujuk supaya suspek menyerahkan semula mangsa kira-kira tiga minit.

"Dalam usaha mencari peluang ketika suspek leka, orang awam yang turut menyaksikan kejadian itu berjaya menarik tangan suspek dari arah belakang dan terus menangkap suspek dengan bantuan oleh orang awam lain dan bapa mangsa sendiri.

"Mangsa akhirnya berjaya diselamatkan, dan suspek diserahkan kepada polis," katanya.

Zaidy berkata, hasil semakan mendapati, satu laporan polis telah dibuat oleh majikan suspek, 8 November lalu mengatakan suspek melarikan diri dari majikannya.

Beliau berkata, suspek masuk ke negara ini untuk bekerja di kilang di Sungai Lalang, di sini sejak sebulan lalu.

"Akibat tekanan kerja yang dihadapi suspek menyebabkan dia melarikan diri dari majikannya.

"Soal siasat awal juga mendapati, motif suspek bertindak demikian kerana terlalu tertekan dengan hidupnya dan berada dalam keadaan kelaparan ketika kejadian kerana sudah beberapa hari tidak makan," katanya.

Zaidy berkata, tangkapan terhadap suspek turut dilakukan dan pisau dirampas.

Beliau berkata, mangsa dirujuk ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk rawatan dan pemeriksaan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6 Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958," katanya.

Disiarkan pada: November 26, 2023 @ 3:21pm
d