utama

Kes Zayn Rayyan: Air kolam takungan disedut

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Petaling Jaya: Unit Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) meneruskan siasatan kematian kanak-kanak lelaki autismes Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, yang masuk hari keenam di Apartmen Idaman, Damansara Damai, di sini, hari ini.

Tinjauan di lokasi mendapati sepasukan anggota polis bersama Unit Forensik dipercayai dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor tiba di lokasi kira-kira jam 11.45 pagi.

Difahamkan, kehadiran mereka ke lokasi bagi meneruskan siasatan untuk mencari bukti dan petunjuk baharu yang boleh membantu siasatan kes itu.

Turut dilihat berada di lokasi adalah kakitangan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor.

Difahamkan, JPS akan membantu polis menyedut air dari kawasan takungan air di anak sungai berhampiran lokasi mayat Zayn Rayyan ditemui pada 6 Disember lalu.

Kerja mengepam air kedengaran bermula sekitar 12.20 tengah hari tadi ketika keadaan di lokasi hujan lebat.

Terdahulu, mayat Zayn Rayyan ditemukan di saliran air berdekatan takungan air 200 meter dari rumahnya di Blok R apartmen berkenaan, kira-kira 10 malam pada 6 Disember lalu.

Kematian Zayn Rayyan kemudian diklasifikasi sebagai kes bunuh selepas bedah siasat menemukan kecederaan pada leher dan badan kanak-kanak itu.

Disiarkan pada: December 12, 2023 @ 2:29pm
d