utama

Bersongkok, tetapi pakai seluar pendek

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

Kuala Lumpur: Beberapa pekerja lelaki sebuah kedai roti dipercayai di Bukit Bintang, di sini tular di media sosial dan dikecam warganet apabila berseluar pendek dan memakai songkok.

Video pendek berdurasi 29 saat menunjukkan pekerja itu sedang menguli roti di hadapan premis dengan pakaian sedemikian dimuat naik pengguna Facebook (FB) Abang Ameen, yang meluahkan kekesalan kerana imej seolah mempersenda.

Warganet yang kurang senang sepertinya turut menyifatkan perbuatan itu seperti mempersendakan agama disebabkan songkok yang sinonim dengan kaum Melayu beragama Islam di Malaysia.

Seorang pengguna FB Raudhatul Jannah berkata, tindakan itu seperti memainkan imej orang Islam dan mendakwa ia dilakukan untuk menarik perhatian pembeli Muslim ke premis berkenaan.

Muhd Afnan pula menzahirkan kebimbangan jika pakaian sedemikian semata-mata tarikan untuk pembeli Muslim, namun enggan dianggap bersikap rasis.

Komennya lagi, adalah penting baginya sebagai umat Islam untuk memastikan premis itu milikan Muslim (diyakini halal).

Sementara itu, jurucakap Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) ketika dihubungi memaklumkan pihaknya mengambil maklum video tular berkenaan dan akan siasatan akan dilakukan.

Sebelum ini, sebuah kedai roti daging popular di ibu negara tular apabila video dimuat naik di media sosial yang menunjukkan seorang kakitangan restoran memakai songkok dan rantai salib di leher.

Bagaimanapun, lelaki itu diberhentikan kerja dan pihak pengurusan kedai memohon maaf kepada semua pihak yang tersinggung serta berasa kurang senang selepas menonton video tular itu.

Disiarkan pada: December 14, 2023 @ 6:35pm
d