utama

Ibnor Riza meninggal dunia

Kuala Lumpur: Penyanyi popular era 1980-an, Ibnor Riza meninggal dunia di Hospital Canselor Tunku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM), di sini, jam 3.30 petang tadi.

Khabar duka itu dikongsi rakan artis juga penyanyi seangkatan Salwa Abdul Rahman yang jelas sangat terkesan dengan pemergian penyanyi legenda terbabit.

"17.12.23. Sahabatku dah (sudah) xde (tiada). Semoga arwah tenang dan damai di sana dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman," katanya.

Semalam penyanyi Mimpi Yang Tak Sudah itu dilaporkan kritikal dan masih ditidurkan selepas menjalani pembedahan mengeluarkan air dalam kepalanya pada 2 Disember lalu.

Isterinya Sarimah Suleiman bagaimanapun tidak dapat berkongsi lebih lanjut mengenai perkembangan suaminya yang menghidap kanser limfoma tahap empat. 

Pada 10 November lalu, penyanyi itu turut menjalani kimoterapi R-ICE di hospital sama.

Dia turut mengalami demam yang berpanjangan selepas rawatan.

Ibnor yang disahkan menghidap kanser limfoma tahap empat pada Mac lalu sehingga kini difahamkan sudah melakukan kemoterapi sebanyak sembilan kali.

Sejak disahkan sakit, dia membelanjakan sekitar RM80,000 bagi kos perubatan dengan menggunakan kesemua wang simpanan selain menjual tiga buah kereta miliknya. 

Disiarkan pada: December 17, 2023 @ 4:28pm
d