utama

Penangan 'review' Khairul Aming

Oleh Redzuan Muharam

Kuala Lumpur: "Menggigil lutut saya tengok pelanggan beratur panjang di depan warung saya kerana tak pernah lihat keadaan itu sebelum ini,"

Demikian reaksi Ahmad Nizam Noh, 37, selepas warung cendolnya yang terletak di Taman Melati, di sini 'diserbu' ribuan pelanggan tidak sampai 24 jam selepas pempengaruh terkenal, Khairul Aming membuat ulasan mengenai makanan dijualnya.

Ahmad Nizam berkata, sudah 10 tahun dia berniaga di situ namun tidak pernah menerima kunjungan pelanggan luar biasa jadi amat terkejut dengan sambutan diterima.

"Pagi Jumaat lalu, Khairul Aming datang ke warung saya dan sebenarnya sudah banyak kali dia datang, kebiasaannya bersama rakannya.

"Kiranya, dia adalah pelanggan tetap saya dan gemar pesan mi bandung serta bihun sup selain cendol pulut yang dijual pada harga RM1.

"Cuma pada hari berkenaan, dia minta izin buat ulasan dan mulanya saya tak nak kerana pengikutnya ramai tapi dia minta saya cuba sekali.

"Jadi, saya ambil peluang itu untuk buktikan pada dia yang peniaga kecil macam saya pun boleh," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Tanpa diduga, ulasan dikongsikan di laman sosial itu mendapat perhatian hingga gerainya dikunjungi ramai pelanggan pada petang hari yang sama.

"Bayangkan, pagi dia (Khairul Aming) datang kemudian rakam video dan muat naik di laman sosial, petang pelanggan sudah beratur panjang di depan warung saya.

"Sebelum ini tak ramai (pelanggan) dan hanya ada lima orang saja yang bekerja di warung iaitu saya dan isteri kedua sebagai tukang masak, isteri pertama di kaunter dan dua lagi pekerja.

"Tapi sejak warung saya tular, saya boleh dapat kira-kira 5,000 pelanggan sehari hingga terpaksa tambah empat lagi pekerja cuma saya kekal sebagai tukang masak untuk kekalkan rasa masakan.

"Jika dulu saya pesan 50 paket pes mi bandung saja dari Muar tapi kini bertambah kepada 400 hingga 500 paket bagi menampung permintaan pelanggan," katanya

Bapa tujuh anak itu berkata,

hasil keuntungannya juga meningkat daripada RM800 kepada kira-kira RM8,000 hingga RM10,000 sehari.

Nizam tidak menyangka sambutan diterima luar biasa kerana mengenangkan permulaannya dulu yang hanya berniaga di tapak roda tiga dekat hadapan sekolah sekitar Taman Melati dan Gombak Setia, di sini.

Ahmad Nizam bersyukur dengan rezeki diperoleh dan berterima kasih kepada Khairul Aming kerana membantu mempromosikan perniagaannya sehingga dikenali ramai.

"Walaupun dia (Khairul Aming) pempengaruh dan usahawan berjaya tapi sangat merendah diri malah buat ulasan pun tak minta bayaran.

"Saya berbesar hati kerana dia pun idola saya sebenarnya malah ada hantar kiriman WhatsApp kepadanya untuk ucap terima kasih dan hanya Allah mampu membalas kebaikannya.

"Terima kasih juga kepada semua pelanggan yang datang dan sanggup beratur serta menunggu sampai sejam atau lebih dalam keadaan panas serta adakalanya hujan.

"Diharap semua terus menyokong dan saya akan cuba untuk beri layanan terbaik serta pastikan makanan cukup bagi tidak menghampakan pelanggan," katanya.

Disiarkan pada: December 18, 2023 @ 8:00pm
d