utama

Tahu apa rasa jadi orang miskin

Oleh Nurul Husna Mahmud

Kuala Lumpur: Tidak hanya Malaysia, netizen dari negara jiran, Thailand dan Indonesia juga mengetahui mengenal 'jiwa besar' Ismaniza Fahida Ismail, 41, ini.

Kisahnya membawa 30 muridnya makan di restoran makanan segera tahun lalu tular sehingga mendapat perhatian masyarakat.

Kata Ismaniza Fahida yang lebih dikenali sebagai Cik Puan Gojes (CPG), dia menggunakan platform media sosial untuk berkongsi kerja-kerja kebaikan supaya bermanfaat.

"Saya tubuhkan Pertubuhan Cik Puan Gojes Malaysia pada 13 Julai 2022 dengan hasrat untuk terus membantu masyarakat tanpa sebarang sekatan.

"Sebelum berada pada tahap ini (pengasas dan usahawan produk kosmetik), saya berkhidmat sebagai guru lebih 18 tahun.

"Kesusahan anak murid yang datang dari keluarga asnaf dan miskin yang menggerakkan kerja-kerja untuk membantu sehinggalah saya mengasaskan perniagaan bagi tujuan itu," katanya.

Tambah Ismaniza Fahida, dia turut menamatkan kariernya sebagai pendidik untuk memberi fokus kepada kerja-kerja kebajikan dan perniagaan tahun ini.

"Sokongan dan dorongan diterima dari masyarakat dalam pelbagai bentuk membantu saya meneruskan kerja amal.

"Setiap kali saya menyantuni golongan yang memerlukan, ia nyata menginsafkan diri dan membuatkan diri rasa lebih bersyukur.

"Contohnya dalam misi membantu membina rumah baharu untuk diduduki adik Basir bersama ibunya antara paling diingati.

"Kisah adik Basir luar biasa apabila pada usia enam tahun dia kematian bapa, setia menguruskan ibunya yang lumpuh.

"Sokongan rakyat Malaysia yang luar biasa juga merealisasikan misi penting wanita itu. Selain Pertubuhan Kebajikan Cik Puan Gojes Malaysia juga masih memberi bantuan bulanan kepada mereka," katanya.

Kemuncak kepada kerja-kerja kebajikan pertubuhannya adalah ketika fasa pasca Covid-19 apabila lebih ramai memerlukan bantuan.

"Saya juga datang dari keluarga miskin dan dulu sering membantu ibu menjual kuih serta makanan bagi menampung kewangan keluarga.

"Bagaimanapun, saya bangkit dan keluar daripada kehidupan itu untuk berjaya menjadi seperti sekarang. Jadi saya mahu 50 wanita dari pelbagai latar belakang antaranya suri rumah, ibu tunggal dan golongan B40 yang saya bimbing menerusi program mentor mentee mengikut jejak langkah yang sama.

"Saya berharap wanita terbabit dapat berdikari dan membantu kelangsungan keluarga mereka," katanya.

Beliau yang juga pernah dinobatkan Wanita Ikon Malaysia 2022 mahu terus mengukuhkan empayar CPG di peringkat antarabangsa selain dapat memberi inspirasi kepada wanita di luar sana untuk memiliki impian besar.

"Tahun ini menyaksikan pencapaian penting saya sebagai ahli perniagaan apabila produk kosmetik CPG menerima pengiktirafan Asean.

"Harapan besar bagi 2024, saya ingin pergi lebih jauh iaitu melebarkan sayap ke peringkat antarabangsa. Kedudukan kukuh itu juga bermakna lebih ramai golongan memerlukan dapat dibantu.

"Pada masa yang sama, saya juga mahu naik taraf kemahiran diri terutama dalam penguasaan teknologi. Teknologi boleh membantu wanita baik dia seorang suri rumah atau ibu memiliki kerjaya dan pendapatan dalam mengharungi cabaran kehidupan masa kini lebih baik," katanya.

Disiarkan pada: December 21, 2023 @ 7:05am
d