utama

Kes bunuh, tanam belakang rumah: 3 ditahan, 4 diburu

Oleh Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil

Gombak: Tiga sekeluarga ditahan disyaki terbabit pembunuhan seorang lelaki yang ditemukan ditanam di kawasan belukar di belakang sebuah rumah di Kampung Sungai Choh, Rawang di sini, malam tadi.

Ketiga-tiga suspek yang membabitkan dua lelaki berusia 29 dan 33 tahun serta seorang wanita berusia 32 tahun itu ditahan di kediaman mereka di kampung terbabit selepas polis menerima laporan kejadian kira-kira 11.25 malam tadi.

Pemangku Ketua Polis Gombak Superintendan Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, kejadian dipercayai berpunca akibat salah faham antara mangsa dengan teman wanitanya yang juga adik perempuan kepada suspek.

"Mangsa datang (ke lokasi kejadian) bersama empat individu sebelum berlaku pertengkaran menyebabkan mangsa dipukul menggunakan kayu, botol kaca dan tong besi sehingga mati.

"Selain daripada tiga suspek yang ditahan, polis masih mengesan empat suspek (individu membawa mangsa ke lokasi kejadian) yang masih bebas iaitu dua lelaki dan dua wanita," katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Terdahulu maklumat awal diterima Harian Metro melaporkan kejadian berlaku akibat perselisihan faham antara dua beradik, bagaimanapun polis mengesahkan ia berpunca akibat salah faham pasangan kekasih yang berakhir dengan kematian seorang daripada mereka.

Mayat mangsa ditanam di belakang rumah keluarga itu sebelum wanita berusia 27 tahun yang juga isteri kepada seorang daripada suspek membuat laporan polis pada 11.25 malam tadi.

Mengulas lanjut, Noor Ariffin berkata, berdasarkan laporan, pada 5 petang, pengadu terdengar perbualan antara suami dan abang iparnya yang meminta tolong untuk menanam satu mayat.

"Siasatan awal polis menjumpai mayat lelaki tanpa pengenalan diri yang dipercayai warga tempatan ditanam dalam satu kawasan belukar," katanya.

Menurutnya, kesemua suspek direman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Disiarkan pada: December 24, 2023 @ 2:38pm
d