utama

Warga emas ditemukan meninggal dunia di samping bangkai kucing peliharaan

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Gombak: "Arwah dijemput Ilahi di samping kucing kesayangannya yang dipercayai terlebih dahulu mati. Memang pilu melihat keadaan kedua-duanya," kata saksi kejadian, Nasaruddin Mohd Darwis, 59, mengenai kematian seorang wanita warga emas di Kampung Kerdas, di sini.

Wanita berusia 73 tahun terbabit ditemukan meninggal dunia dalam keadaan terbaring di ruang tamu rumahnya, semalam.

Ketua Kampung yang juga Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Kerdas itu berkata, beliau menerima panggilan daripada jiran wanita itu pada jam 6.45 petang.

Menurutnya, wanita itu dikatakan sudah lima hari tidak keluar rumah dan pada mulanya jiran menyangka dia ke rumah saudara kerana pagar dikunci dari luar.

"Tapi jiran berasa pelik bila terlalu lama sebab kebiasaannya hanya dua atau tiga hari. Selepas dapat panggilan, saya terus ke rumahnya tapi pintu berkunci lalu saya hubungi polis dan bomba sukarela meminta bantuan.

"Pasukan bomba tiba di lokasi dan berjaya membuka pintu rumah kira-kira jam 8 malam. Apabila kami masuk ke dalam rumah, kami temui wanita itu terbaring di ruang tamu.

"Pemeriksaan oleh pegawai kesihatan mengesahkan dia sudah meninggal dunia. Di samping mayatnya kami temui bangkai kucing peliharaan wanita itu yang sudah mereput," katanya kepada Harian Metro.

Mengulas lanjut, Nasaruddin berkata, wanita itu tidak berkahwin dan hanya tinggal sendirian di rumah pusaka keluarga sejak berpuluh tahun lalu.

Katanya, wanita itu memang sudah lama uzur dan berjalan menggunakan tongkat dengan kali terakhir dia berjumpa wanita terbabit kira-kira tiga bulan lalu.

"Saya rapat dengan arwah dulu tapi sejak dia uzur dan jarang keluar rumah, memang kami tidak berjumpa.

"Selalu jiran yang menyewa berdekatan rumahnya itulah membantu membelikan barangan keperluan apabila diminta," katanya.

Katanya, pihaknya membantu menguruskan jenazah arwah dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Changkat, Gombak di sini.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Gombak Superintendan Noor Ariffin Mohamad Nasir ketika dihubungi memaklumkan pihaknya akan mengeluarkan kenyataan media berhubung kejadian itu.

Disiarkan pada: December 28, 2023 @ 4:18pm
d