utama

Keadaan Hamdan tak stabil, kritikal

Oleh Ramlah Zainal

Kuala Lumpur: "Keadaan babah (panggilan untuk bapa) tidak stabil dan kritikal ketika ini," kata anak anggota Senario, Hamdan Ramli, 54, iaitu Muhamad Syazreen Haqem, 24, mengenai keadaan kesihatan bapanya yang terpaksa ditidurkan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru, akibat jangkitan kuman dalam darah sejak jam 6 petang semalam.

Haqem berkata, mereka sekeluarga memohon semua rakyat Malaysia terus mendoakan bapanya untuk segera sembuh.

Menurut anak ketiga pelawak itu, doktor juga masih membuat pengawasan rapi membabitkan keadaan kesihatan bapanya itu.

"Doktor juga beritahu mahu buat imbasan 'ultrasound' hari ini kerana mendapati hati babah juga rosak," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Haqem berkata, mereka sekeluarga juga terpaksa tinggal di hotel di Johor Bahru kerana perlu berulang alik ke hospital sepanjang tempoh Hamdan dirawat di hospital.

Haqem berkata, mereka sekeluarga juga mengucapkan terima kasih kepada semua anggota Senario yang datang melawat bapanya di hospital.

"Semua anggota Senario datang melawat dan memberi sokongan kepada mama dan kami sekeluarga untuk kuat berdepan dengan ujian ini,"katanya.

Terdahulu, Haqem memberitahu bapanya mengalami sesak nafas dan memerlukan bantuan oksigen selepas demam dan mengalami cirit-birit sejak semalam.

Hamdan berada di Johor Bahru sejak semalam kerana terbabit dengan program bersama kumpulan Senario iaitu Wonderful Night with Senariounion.

Disiarkan pada: January 1, 2024 @ 4:04pm
d