utama

Pekerja maut terkena letupan bunga api majlis ambang tahun baru

Oleh Mohd Khidir Zakaria

Port Dickson: Seorang lelaki maut manakala rakannya parah dalam kejadian letupan bunga api di sebuah hotel, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, kejadian berlaku di bahagian bumbung tempat letak kenderaan hotel terbabit.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa adalah pekerja syarikat pemasangan bunga api yang ditugaskan memasang bunga api untuk pertunjukan sempena malam ambang tahun baru 2024 di hotel berkenaan.

"Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari itu, mereka ditugaskan untuk memasang bunga api bagi pertunjukan sempena malam ambang tahun baru 2024.

"Ekoran kejadian itu, seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun meninggal dunia manakala seorang lagi berusia 39 tahun dihantar ke Hospital Port Dickson untuk mendapatkan rawatan akibat terkena serpihan bahan bunga api yang meletup," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, orang awam digesa tidak menviralkan isu ini kerana ia boleh mengganggu siasatan polis.

"Kejadian masih dalam siasatan polis dan diharapkan orang ramai tidak memainkan isu atau menyebabkan salah faham masyarakat.

"Kes sedang disiasat dan diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.

Terdahulu, tular di media sosial sebuah rakaman video dan gambar memaparkan kejadian letupan beberapa das bunga api di hotel berkenaan.

Disiarkan pada: January 1, 2024 @ 5:16pm
d