utama

Lelaki maut ditembak ada 13 rekod jenayah, dadah

Oleh Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil

Subang Jaya: Lelaki yang ditembak mati dalam kejadian di Puchong Prima, di sini hari ini adalah individu dikehendaki polis yang mempunyai 13 rekod lampau.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, suspek adalah seorang lelaki tempatan mempunyai tujuh rekod jenayah dan enam rekod kesalahan narkotik.

Menurutnya, suspek maut selepas berbalas tembakan di hadapan Apartment Sri Acasia, Taman Puchong Prima, di sini sekitar jam 3.49 petang, hari ini.

"Siasatan lanjut masih dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya.

"Polis juga terkesan satu rakaman video berkait kejadian ini tular di media sosial, justeru orang ramai dinasihatkan supaya tidak menularkan video berkenaan bagi mengelak kegusaran masyarakat," katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu Harian Metro melaporkan penduduk sekitar kawasan Jalan Puchong Prima 3 gempar apabila bunyi letupan kedengaran dipercayai susulan kejadian tembakan di sini hari ini.

Satu klip video berdurasi 39 saat memaparkan beberapa lelaki menjerit lalu kedengaran bunyi dipercayai tembakan dilepaskan.

Mengulas lanjut Hussein meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan supaya tampil bagi membantu siasatan.

"Sebarang maklumat boleh disalurkan ke IPD Subang Jaya di talian 0378627222 atau tampil ke balai berhampiran bagi membantu siasatan," katanya.

Disiarkan pada: January 14, 2024 @ 9:05pm
d